DUCATI Tepis Spekulasi Bakal Dijual Kumpulan Volkswagen

Bos Ducati, Claudio Domenicali menegaskan pengeluar asal Borgo Panigale itu ketika ini berada dalam kedudukan kewangan yang sangat kukuh dan mampu beroperasi secara berdikari

TERKINI

7/7/20261 min read

KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) Ducati, Claudio Domenicali menepis khabar angin yang mendakwa pengeluar motosikal premium itu bakal dijual oleh syarikat induknya, Kumpulan Volkswagen (VW).

Kata Domenicali, pengeluar asal Borgo Panigale itu ketika ini berada dalam kedudukan kewangan yang sangat kukuh dan mampu beroperasi secara berdikari tanpa perlu bergantung kepada dana pemegang saham.

"Syarikat kini berada dalam keadaan yang sangat baik. Kami tidak memerlukan sokongan daripada pemegang saham untuk melaksanakan pelan pelaburan masa depan atau untuk menghasilkan model-model baharu," katanya.

Penjelasan itu jelas meredakan spekulasi yang membelenggu jenama berkenaan, terutamanya ketika mereka baru sahaja meraikan sambutan ulang tahun ke-100 di acara berprestij World Ducati Week 2026 di Misano, hujung minggu lalu.

Terdahulu, khabar angin mengenai penjualan Ducati bertiup kencang selepas pihak pengurusan VW memberikan kenyataan samar-samar kepada media minggu lalu, yang secara langsung tidak mengesahkan mahupun menafikan perancangan berkenaan.

VW menegaskan seluruh syarikat dan anak syarikat mereka sedang melalui fasa transformasi operasi yang mendalam dengan memfokuskan kepada kecekapan, pengurangan kos dan kawalan pelaburan yang lebih ketat.