DUCATI Terus Dominasi, Pecco, Bastianini Terpantas Ujian Di Qatar!
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
2/21/20242 min read
UJIAN rasmi pra-musim MotoGP 2024 di Qatar menutup tirainya dengan Ducati menerusi kedua-dua pelumba pasukan 'Factory' Ducati, Lenovo Francesco Bagnaia dan Enea Bastianini mendominasi carta terpantas.
Selepas mengungguli hari pertama ujian, Bagnaia atau Pecco sekali lagi memberikan mesej jelas kepada pencabarnya dia adalah calon utama kejuaraan musim ini dengan merakamkan masa terpantas.
Lebih menarik, catatan 1:50.952 saat (s) yang dilakukan Pecco adalah rekod terpantas terbaharu MotoGP di Litar Losail, Qatar dan mengikuti apa yang dilakukan di Sepang sebelum ini.
Tidak berseorangan, rakan sepasukan Pecco yang sedikit 'tenggelam' musim lalu, Bastianini turut membuktikan dirinya dengan mencatatkan masa kedua terpantas selepas melakukan 1:51.072s.
Tidak seperti di Sepang, Aprilia tampak lebih 'selesa' di Qatar apabila pelumba veterannya, Aleix Espargaro mencatatkan masa ketiga terpantas.
Tetapi apa yang lebih menarik, muka baharu Ducati, Marc Marquez membuktikan dia makin selesa dengan jentera Itali itu dengan melakukan catatan ke-4 terpantas.
Dan sebagai pelumba pasukan satelit Gresini Ducati, juara dunia MotoGP enam kali itu menggunakan jentera Ducati Desmosedici GP23.
Turut menunjukkan prestasi menakjubkan adalah bekas pelumba pasukan RNF Aprilia yang kini dikenali Trackhouse, Raul Fernandez.
Baru saja pulih daripada kecederaan yang dialaminya di Sepang, pelumba pasukan satelit Aprilia itu mencatatkan masa kelima terpantas dengan menggunakan jentera RS-GP23.
Ia kemudian diikuti seorang lagi pelumba 'Kilang' Aprilia, Maverick Vinales dengan naib juara MotoGP musim lalu, Jorge Martin (Pramac Ducati) mencatatkan masa ketujuh terpantas.
Pelumba terbaik KTM kekal menjadi milik Brad Binder namun pelumba Afrika Selatan itu hanya melakukan catatan ke-9 terpantas.
Sementara itu, pelumba terbaik daripada pengeluar Jepun dicatatkan oleh Fabio Quartararo (Monster Energy Yamaha) yang melakukan catatan ke-14 terpantas manakala pelumba terbaik Honda adalah Johann Zarco (LCR Honda) ke-17 terpantas.
Berikut adalah catatan terpantas yang dilakukan barisan pelumba di hari kedua ujian rasmi pra-musim MotoGP 2024 di Qatar.
1. Francesco Bagnaia (ITA) Ducati Lenovo, 1:50.952s
2. Enea Bastianini (ITA) Ducati Lenovo, 1:51.072s
3. Aleix Espargaro (ESP) Aprilia Racing, 1:51.260s
4. Marc Marquez (ESP) Gresini Racing, 1:51.335s
5. Raul Fernandez (ESP) Trackhouse Racing, 1:51.341s
6. Maverick Vinales (ESP) Aprilia Racing, 1:51.387s
7. Jorge Martin (ESP) Prima Pramac, 1:51.466s
8. Fabio Di Giannantonio (ITA) Pertamina Enduro VR46, 1:51.489s
9. Brac Binder (RSA) Red Bull KTM Factory, 1:51.583s
10. Marco Bezzecchi (ITA) Pertamina Enduro VR46, 1:51.678s
11. Jack Miller (AUS) Red Bull KTM Factory, 1:51.720s
12. Miguel Oliveira (POR) Trackhouse Racing, 1:51.836s
13. Alex Marquez (ESP) Gresini Racing, 1:51.944s
14. Fabio Quartararo (FRA) Monster Energy Yamaha, 1:51.965s
15. Pedro Acosta (ESP) Red Bull GASGAS Tech3, 1:52.046s
16. Alex Rins (ESP) Monster Energy Yamaha, 1:52.103s
17. Johann Zarco (FRA) LCR Honda, 1:52.162s
18. Takaaki Nakagami (JPN) LCR Honda, 1:52.384s
19. Joan Mir (ESP) Repsol Honda, 1:52.457s
20. Luca Marini (ITA) Repsol Honda, 1:52.677s
21. Augusto Fernandez (ESP) Red Bull GASGAS Tech3, 1:52.770s
22. Cal Crutchlow (GBR) Yamaha Factory Racing, 1:53.012s
23. Michele Pirro (ITA) Prima Pramac, 1:53.655s
24. Lorenzo Savadori (ITA) Aprilia Racing, 2:01.400s