DUCATI 'Tiada Masalah' Terlepas No.1 Kepada Aprilia
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
11/9/20241 min read


DUCATI di ambang untuk kehilangan plat nombor 1 kepada salah satu pencabarnya di MotoGP, Aprilia musim depan.
Sekalipun pengeluar Itali itu akan tetap menamatkan saingan musim ini dengan gelaran dunia kategori pelumba, kemenangan berkenaan jika diperoleh Jorge Martin dari Pramac Ducati turut bermakna nombor keramat itu akan dibawa ke Aprilia musim depan.
Tetapi menariknya, Ducati itu tampak tidak kisah dengan situasi itu, menurut Pengurus pasukan Ducati Lenovo, Davide Tardozzi.
"Jelas yang jika Jorge menang kejuaraan dia mungkin akan membawa sekali nombor satu, kerana ia sesuatu yang bukan setiap hari kamu boleh dapat," kata Tardozzi kepada TNT Sport.
"Jadi dia mahukan nombor itu di jenteranya. Tetapi jika kita melihat kepada keputusannya, ia akan menulis 'Jorge Martin - Ducati'.
"Jadi nombor satu adalah untuk pelumba tetapi jenteranya adalah Ducati. Bagi kami ia bukan masalah. Kami akan cuba sebaik mungkin untuk membawanya kembali kepada 2026.
"Jika dia memenangi kejuaraan, dia boleh membawa bersama nombor satu, tetapi dia memenanginya bersama Ducati. Jadi bagi kami ia bukan masalah."
Menuju pusingan terakhir MotoGP 2024 di Barcelona, Martin ketika ini memiliki kelebihan 24 mata di depan pelumba Ducati Lenovo, Francesco Bagnaia.
Pelumba kelahiran Sepanyol itu, yang pada mulanya menjadi pilihan utama untuk berpindah ke Ducati Lenovo sebelum dicantas Marc Marquez membuat keputusan untuk menyertai Aprilia selepas mengetahui perkara berkenaan.
Tardozzi turut menambah sekalipun mereka kehilangan Martin, gelaran dunia yang dimenangi pelumba itu terus membuktikan yang Ducati melakukan kerja yang cemerlang.
"Jelas Martin adalah pelumba yang mempunyai kontrak dengan kami," kata Tardozzi. "Jadi ada perkara yang menggembirakan kami. Tetapi sejujurnya, terutama saya, saya adalah staf Ducati Lenovo dan akan mencuba sebaik mungkin untuk membenarkan Pecco beraksi dengan cara yang betul, cuba menang dan lihat apa Jorge akan lakukan.
"Tetapi pada akhirnya, ia adalah pelumba yang meningkat bersama Ducati."
