'DUCATI Tunggu Kata Putus Pramac'
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
6/18/20241 min read


DUCATI tidak lagi 'bersuara' dengan nada yakin pasukan satelit rasminya, Pramac Racing akan meneruskan kerjasama dengan pengeluar Itali itu dalam kempen MotoGP musim depan.
Kontrak Pramac Racing sebagai pasukan satelit Ducati dijadual berakhir pada tahun ini tetapi berdasarkan klausa, yang masih sah sehingga 31 Julai depan, kerjasama itu boleh dilanjutkan selama dua tahun lagi.
Pramac yang diberikan jentera berstatus 'kilang' oleh Ducati dan pelumbanya, Jorge Martin berjaya menjadi pencabar utama kejuaraan tampak bersedia untuk menandatangani kontrak lanjutan sebelum pelumba Sepanyol itu akhirnya 'ditolak' Ducati Corse.
Situasi itu membuatkan segalanya menjadi 'tergantung' dan ditambah dengan tawaran lumayan yang didakwa diperoleh daripada Yamaha, tiada kata putus diperoleh sehingga ini.
Dan sekali pun amat berharap Pramac akan meneruskan kerjasama kedua-dua entiti itu, Pengarah Urusan Ducati Corse, Gigi Dall’Igna mengakui kata putus terletak di tangan pengurusan Pramac.
"Jelas yang kami ketika ini di tahap terakhir kerana masa untuk membuat keputusan sudah semakin suntuk," kata Dall’Igna.
"Jalan penyelesaian jelas bukan terletak di tangan kami jadi kami perlu menunggu.
"Kami memiliki sejarah dengan Pramac. Kerjasama yang kami buat cukup banyak dan kami juga mempunyai persahabatan yang mengikat kami.
"Jadi saya berharap Paolo Campinoti (Pemilik Pramac Racing) akan membuat keputusan untuk kekal."
Seperti diketahui, Martin yang ketika ini memimpin carta kejuaraan MotoGP memilih untuk menyertai Aprilia dengan kerusi panas di Ducati Lenovo dilengkapkan juara dunia lapan kali, Marc Marquez.
Situasi itu turut mencipta 'kecoh' di grid MotoGP yang menyaksikan pelumba Aprilia, Maverick Vinales membuat keputusan untuk menyertai pasukan satelit KTM, Tech3 musim depan untuk bergandingan dengan Enea Bastianini.
Yamaha tidak berselindung yang mereka ketika ini sedang berusaha untuk menambah bilangan jenteranya Yamaha M1 di grid MotoGP pada musim 2025 selepas kehilangan pasukan satelit - RNF Yamaha - pada 2022.
Sebelum ini, Pengurus Pramac Racing Gino Borsoi pernah menyuarakan keyakinan pasukan itu akan kekal bersama Ducati namun tiada kata putus diperoleh sehingga ini.
