DUCATI Umum Tarikh 4 Mei Untuk 'We Ride As One' 2024!

TERKINI

3/29/20241 min read

DUCATI mengumumkan 4 Mei depan sebagai tarikh penganjuran antara acara yang dinanti-nantikan komuniti Ducatisti seluruh dunia iaitu Ducati 'We Ride As One' 2024.

Seperti diketahui, penganjuran Ducati 'We Ride As One' adalah untuk memberi peluang kepada komuniti dan pemilik Ducati di seluruh dunia, termasuk Malaysia untuk berkumpul dan meraikan semangat mereka terhadap jenama Itali itu.

Memasuki edisi ketiga, 'We Ride As One' adalah acara 'pemanas badan' sebelum berlangsungnya acara 'World Ducati Week 2024' yang dijadualkan berlangsung di Litar Misano 'Marco Simoncelli', Itali pada 26 hingga 28 Julai depan.

Seperti edisi sebelum ini, Ducati 'We Ride As One' 2024 akan membabitkan semua pengedar Ducati di seluruh dunia yang turut dikuatkan dengan sokongan Kelab Rasmi Ducati (DOC) tempatan.

Pada 2023, lebih 15,000 pemilik Ducati dari lebih 50 negara antaranya di Florence, Rom, London, Dublin, Madrid, Tokyo, Munich, Shanghai, Dubai, Rio de Janeiro, New Delhi, Bangkok, Amsterdam, Sydney dan banyak lagi menyertai acara Ducati 'We Ride As One' bersama motosikal Ducati masing-masing.

Di Malaysia, Ducati Malaysia turut menyertai Ducati 'We Ride As One' tahun lalu di pusat pengedar mereka di Petaling Jaya, Sungai Buloh dan Pulau Pinang.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai acara Ducati 'We Ride As One' 2024, komuniti Ducatisti di Malaysia boleh menghubungi cawangan pengedar Ducati seluruh negara.

Kepada yang berhasrat untuk menyertai 'World Ducati Week 2024' pada Julai nanti di Misano, tiket juga sudah tersedia di laman web Ducati.com.