DUCATI Yakin Marc Marquez 100 % Cergas Di Jerez
Perkembangan positif itu hadir ketika kem Ducati sedang merangka strategi untuk menyekat penguasaan awal yang dipamerkan oleh pencabar utama mereka iaitu Aprilia pada musim ini
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
4/21/20261 min read


BOS Ducati Corse, Gigi Dall'Igna menolak kebimbangan mengenai tahap kecergasan pelumba bintangnya, Marc Marquez dengan menegaskan juara dunia bertahan itu akan cergas '100 peratus' menjelang perlumbaan di Jerez, hujung minggu ini.
Perkembangan positif itu hadir ketika kem Ducati sedang merangka strategi untuk menyekat penguasaan awal yang dipamerkan oleh pencabar utama Aprilia pada musim ini.
Selepas merangkul kejuaraan dunia kesembilan yang sekian lama dinantikan pada musim sulungnya bersama Ducati Lenovo, Marquez terpaksa melupakan baki perlumbaan berikutan kecederaan bahu kanan akibat insiden dengan Marco Bezzecchi di Indonesia.
Meskipun sudah kembali beraksi pada ujian pramusim, pelumba kelahiran Sepanyol itu tiba di pusingan pembukaan Eropah ini sekadar menghuni kedudukan kelima keseluruhan tanpa sebarang pentas podium perlumbaan Grand Prix (GP).
Ketika timbul persoalan mengenai prestasi jentera terkini Ducati Desmosedici berbanding Aprilia RS-GP yang dilihat lebih dominan, Marquez mengakui proses pemulihan bahunya menyebabkan dia masih belum dapat menunggang pada tahap sebenar.
"Jelas sekali (Marquez) mengalami kecederaan yang agak serius; dia terlepas lima perlumbaan pada penghujung musim lalu, jadi dia masih dalam proses pemulihan," kata Dall’Igna kepada portal Moto.it.
"Namun sejujurnya, saya melihat dia menunjukkan perkembangan yang baik, dan saya yakin dia akan cergas 100 peratus menjelang saingan di Jerez nanti."
Ketika ini, duo pelumba Aprilia, Bezzecchi dan Jorge Martin unggul mendahului carta kedudukan kejuaraan dunia selepas jentera Aprilia RS-GP memenangi empat daripada enam perlumbaan pusingan awal termasuk menyapu bersih ketiga-tiga perlumbaan GP.
Pelumba KTM, Pedro Acosta berada di kedudukan ketiga, diikuti pelumba VR46 Ducati, Fabio di Giannantonio, Marc Marquez dan rakan sepasukannya di Ducati Lenovo, Pecco Bagnaia ke-9.

