'DUIT Je Tak Cukup'

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

12/26/20241 min read

HONDA diberi amaran yang 'duit berkepuk-kepuk' saja tidak cukup untuk mencetus kebangkitan pengeluar itu di MotoGP, kata bekas pelumbanya Pol Espargaro.

Selepas mendominasi saingan berprestij itu selama beberapa tahun, Honda kemudian mengalami kemerosotan prestasi dan ia menjadi lebih buruk selepas pelumba bintangnya, Marc Marquez meninggalkan pasukan itu pada penghujung musim 2023.

Pada tahun itu, pengeluar Jepun itu jatuh ke tahap paling bawah dan menghuni tangga tercorot kedua-duanya kategori pengeluar dan pelumba.

Justeru bagi Espargaro yang abangnya Aleix Espargaro menyertai Honda sebagai pelumba ujian sejurus musim ini berakhir berkata pengeluar itu perlu berusaha lebih keras jika mahu bangkit.

"Mereka sedang berusaha. Saya tahu yang mereka sedang berusaha. Tetapi ia bukan sekadar berusaha, sumber atau sebanyak mana duit yang kamu perlu miliki untuk mendapatkan keputusan.

"Ia bukan seperti itu!

"Ia membabitkan segala-galanya, bagaimana kamu bekerja. Bagaimana organisasi. Bagaimana ujian yang dijalankan. Kerana ujian adalah perkara paling penting dalam sukan ini ketika ini.

"Pelumba-pelumba berlumba dua kali seminggu jadi mereka tidak mempunyai masa untuk melakukan ujian ketika minggu perlumbaan. Mungkin sebelum ini mereka melakukan perkara itu.

"Jadi adalah penting untuk mendapatkan pasukan ujian yang kuta. Saya melihat perkara ini sebagai penting bagi kemajuan pengeluar-pengeluar.

"Tahap (kejuaraan) cukup tinggi dan teknologi yang digunakan cukup maju," kata pelumba kelahiran Sepanyol itu.