EDISI Istimewa Ducati Monster Senna (2024) Dihasilkan, Penghargaan Buat Legenda F1!

TERKINI

5/17/20241 min read

DUCATI memperkenalkan model edisi istimewa Ducati Monster Senna (2024) yang dihasilkan sebagai penghargaan kepada legenda Formula Satu (F1) yang turut dilabel 'Ducatisti', Ayrton Senna.

Diperkenalkan menjelang perlumbaan F1 Grand Prix Itali yang dijadual berlangsung pada minggu ini, Ducati Monster Senna (2024) sebagai model istimewa tampil dengan corak grafik dan warna yang mengambil inspirasi daripada helmet juara dunia F1 tiga kali itu.

Dan untuk menjadikannya lebih istimewa, hanya 341 unit sahaja dihasilkan oleh Ducati untuk Ducati Monster Senna (2024) di pasaran global.

Dan mengapa angka yang diambil adalah '341', ia adalah bersempena dengan 3 kejuaraan dunia F1 yang dimenangi Senna manakala nombor 41 diambil daripada jumlah kemenangannya.

Berbalik kepada corak grafik dan warna, seperti helmet ikonik legenda itu, ia menampilkan gabungan warna kuning sebagai warna utama, hijau dan biru tua. Turut mendapat kemasan berwarna biru tua adalah di bahagian pelana.

Turut unik pastinya di bahagian tangki bahan apa apabila dia memiliki dua jalur biru dan hijau, logo 'Senna' serta tulisan 'Racing Is In My Blood'.

Selain itu, kaliper brek Brembo turut dipadankan dengan warna kuning selain kemasan kuning di bahagian ekzos. Dan setiap unit turut memiliki plak yang diukir di bahagian 'top clamp' selain sijil ketulenan.

Hadir memperkenalkan Ducati Monster Senna (2024) adalah Ketua Pegawai Eksekutif Ducati Corse, Claudio Domenicali, Ketua Pegawai Eksekutif Senna Brands, Bianca Senna dan Ketua Pegawai Eksekutif Formula 1, Stefano Domenicali.

Dari sudut spesifikasi trenkuasa, Ducati Monster Senna dipadankan dengan enjin 937 cc yang sama seperti Monster Standard yang menghasilkan kuasa sebesar 111 Hp.

Tetapi berikutan penggunaan pelbagai komponen istimewa termasuk bateri lithium dan peg kaki aluminium, beratnya sama hampir sama dengan model Ducati Monster SP.

Untuk persoalan mengenai harga jualan, angka yang diumumkan adalah £ 23,500 (RM 139,370).

Sebagai info, Ducati Monster Senna bukanlah model Ducati pertama yang dihasilkan sebagai penghargaan kepada Senna malah pengeluar Itali itu pernah mengeluarkan Ducati 916 Senna pada pertengahan 1990-an.

Dan kepada yang tidak tahu, legenda kelahiran Brazil itu adalah pemilik beberapa model motosikal Ducati antaranya Monster dan 916.