EDISI Istimewa Honda CBR1000RR-R Fireblade SP Ulang Tahun ke-30 (2023) Kini Di Malaysia, Harga RM 208,800!

PELANCARAN

7/5/20231 min read

HONDA mengumumkan penghasilan edisi istimewa jentera 'Superbike' aras tingginya, Honda CBR1000RR-R Fireblade SP Ulang Tahun ke-30 tahun lalu dan selepas sekian lama menunggu, model berkenaan rasmi 'mendarat' di pasaran tempatan.

Seperti namanya, Honda CBR1000RR-R Fireblade SP Ulang Tahun ke-30 dihasilkan sempena ulang tahun pelancaran pertama siri CBR (Honda CBR900RR) pada 1992 dan dikhabarkan dihasilkan dalam unit terhad.

Dan harga jualan untuk pasaran Malaysia seperti dinyatakan Boon Siew Honda (BSH) adalah RM 208,800 (asas) tanpa yuran pendaftaran, cukai jalan dan insuran.

Ia juga datang dengan pilihan warna dan corak grafik istimewa, mengikuti skema warna model sulungnya yang ikonik dan direka oleh Hiroaki Tsukui iaitu Pearl Glare White.

Sebagai jentera yang turut digunakan untuk bertanding di perlumbaan berprestij Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK), Honda CBR1000RR-R Fireblade SP Ulang Tahun ke-30 dibangunkan dengan teknologi termaju dimiliki Honda ketika ini.

Menggunakan kerangka RC213V-S, ia dilabel sebagai 'jentera Honda paling hampir dengan jentera MotoGP' yang sah ditunggang di jalan raya.

Dijana enjin bersesaran 999 cc, 4 Silinder Sebaris, 16 Injap, 4 Lejang, Suntikan Bahan Api, Penyejuk Cecair, DOHC, kuasa yang dihamburkan adalah setinggi 215 Hp pada 14,500 rpm dan tork 113 Nm pada 12,500 rpm.

Sistem transmisi yang digunakan adalah 6 kelajuan lengkap dengan ciri Slip & Assist dan Quickshifter.

Selaras harganya yang 'padu', antara keistimewaan lain adalah penggunaan lencana dan logo ulang tahun ke-30 di bahagian atas tangki minyak, paparan pada skrin panel meter, peredam ekzos dan setiap unit tertera ukiran nombor siri khas di bahagian tengah 'bar hendal'.

Ciri-ciri menarik Honda CBR1000RR-R Fireblade SP Ulang Tahun ke-30 (2023)

- Throttle By Wire (TBW)

- Six-axis Inertial Measurement Unit (IMU)

- Honda Selectable Torque Control (HSTC)

- Honda Electronic Steering Damper (HESD) 3 Tahap

- 3 Mod Tunggangan

- Engine Brake

- Wheelie Control

- Winglets

– Suspensi (Öhlins Smart Electronic Control,

- Brek Kaliper Brembo (depan/belakang)

- Panel meter TFT 5 Inci (Animasi ‘Ring of Fire’ ketika dibuka)

- Sistem Honda Smart Key

Kepada yang berminat, anda boleh mengunjungi cawangan Honda Big Bike di seluruh Malaysia seperti di bawah.

• BigWing Georgetown

• BigWing Setapak

• BigWing Petaling Jaya

• BigWing Johor