EDISI Istimewa Honda CBR150R CyberRoar (2025) Diumumkan, Terhad 250 Unit, Asas RM 14,399!

Edisi istimewa 'Sportbike' aras mula Honda CBR150R CyberRoar (2025) diumumkan oleh Boon Siew Honda untuk pasaran Malaysia dan dijual dalam unit terhad - 250 unit sahaja

PELANCARAN

7/1/20251 min read

BOON Siew Honda (BSH), hari ini mengumumkan kehadiran model edisi istimewa bagi model 'Sportbike' aras mulanya, Honda CBR150R CyberRoar (2025) yang dihasilkan dalam unit terhad - 250 unit untuk pasaran Malaysia.

Tiba pada harga asas RM 14,399 (tidak termasuk yuran pendaftaran, cukai jalan dan insuran), Honda CBR150R CyberRoar (2025) bukan sekadar mendapat kemas kini membabitkan kosmetik, tetapi pelbagai keistimewaan lain.

Menggunakan nama 'CyberRoar', Honda CBR150R CyberRoar (2025) tampil dengan liveri istimewa eksklusif yang bertemakan harimau.

Dengan penggunaan warna asas magenta terang dengan jalur jingga, ia turut menampilkan ilustrasi kepala harimau yang sedang mengaum di kedua-dua sisi fairing.

Selain liveri yang cukup unik, turut menarik adalah setiap pembelian akan menerima 'Special Edition Gift Set' yang merangkumi:

  • Panoramic Sport Camera

  • Intercom

  • Beg LED Reflective

Tiada perubahan dari sudut spesifikasi mekanikal dengan Honda CBR150R CyberRoar (2025) kekal dengan padanan enjin bersesaran 155 cc, 1 Silinder, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, DOHC dengan transmisi 6 kelajuan klac manual bersama klac 'Assist & Slipper'.

Kuasa yang dihamburkan adalah 16.09 Hp pada 9,000 rpm dan tork 13.7 Nm pada 7,000 rpm.

Sistem suspensi menggunakan fork jenis terbalik (USD) depan dan penyerap hentak tunggal (belakang) dengan ciri pelarasan preload.

Brek pula dijana cakera tunggal (depan dan belakang) lengkap dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dua saluran.

Info lain adalah seperti berikut:

  • Panel meter digital LCD

  • Lampu LED penuh

  • Tangki bahan api 12 liter

  • Set roda 100/80-17 (depan), 130/70-17 (belakang)

  • Tinggi pelana 788 mm

  • Berat 139 kg

Selain Honda CBR150R CyberRoar (2025), turut diumumkan adalah dua warna baharu untuk Honda CBR150R (2025) standard iaitu Silver dan Tricolor bersama harga RM 13,399.

Menurut BSH, Honda CBR150R CyberRoar (2025) akan mula tiba di bilik pameran rasmi Honda Impian X bermula pada 15 Julai ini.