EDISI Istimewa Kawasaki Ninja ZX-25RR 40th Anniversary (2024) Muncul Di Seberang, Malaysia Menyusul?

TERKINI

8/15/20241 min read

KAWASAKI Motor Indonesia (KMI), baru-baru ini mengumumkan kehadiran versi edisi istimewa Kawasaki Ninja ZX-25RR 40th Anniversary (2024) khusus untuk pasaran negara berkenaan.

Sebagai model versi edisi istimewa, Kawasaki Ninja ZX-25RR 40th Anniversary (2024) yang dihasilkan dengan unit terhad di pasaran global turut tiba dengan unit terhad di Indonesia.

Begitupun, KMI tidak memberitahu jumlah unit yang diperuntukkan untuk pasaran negara itu dengan kehadiran versi berkenaan dikatakan berikutan permintaan pelanggannya.

Seperti model versi 40th Anniversary lain, Kawasaki Ninja ZX-25RR 40th Anniversary (2024) dipadankan dengan skema warna dan corak grafik gabungan tiga warna tradisi Kawasaki Racing iaitu Lime Green, Pearl Crystal White dan Blue.

Dipadankan dengan logo Kawasaki besar di bahagian 'fairing', kelainan atau keistimewaan lain adalah rim yang turut dipadankan dengan warna Hijau, lengkap 'engine guard', visor berwarna 'Smoke' selain logo '40th Ninja Anniversary' di bahagian tangki bahan api.

Sedikit info, pilihan warna dan corak grafik yang digunakan adalah mengambil inspirasi daripada jentera Kawasaki ZXR750 yang beraksi di era 1980-an.

Dan sebagai model edisi istimewa, harga untuk Kawasaki Ninja ZX-25RR 40th Anniversary (2024) juga lebih tinggi berbanding versi biasa iaitu Rp 138,000,000 (RM 38,976) atas jalan Jakarta.

Untuk perbandingan, Kawasaki Ninja ZX-25RR dijual pada harga Rp 133,500,000 (RM 37,705).

Seperti dinyatakan lebih awal, tiada perubahan lain dilakukan dengan spesifikasi mekanikal Kawasaki Ninja ZX-25RR 40th Anniversary (2024) sama seperti versi Kawasaki Ninja ZX-25RR (2024) yang dijual di negara itu.

Sebagai info, selain Kawasaki Ninja ZX-25RR 40th Anniversary (2024), pasaran Indonesia sebelum ini sudah pun menerima Kawasaki Ninja ZX-10R, Ninja ZX-6R dan Ninja ZX-4RR dengan versi edisi 40th Anniversary.

Di pasaran Malaysia, berikutan kerjasama strategik antara Kawasaki dan Modenas, Kawasaki Ninja ZX-25R dijual menggunakan lencana Modenas iaitu Modenas Ninja ZX-25R.

Dan Modenas Ninja ZX-25R SE adalah model dengan spesifikasi yang sama dengan Kawasaki Ninja ZX-25RR (2024).

Setakat ini, tiada pilihan 40th Anniversary dijual di pasaran Malaysia untuk mana-mana model Kawasaki atau Modenas.

Tetapi berikutan tahap 'panas' motosikal itu, tidak mustahil ia boleh berlaku terutama jika mendapat permintaan dan menariknya, ia juga berkemungkinan akan menggunakan lencana Kawasaki. Sama-sama kita nantikan.