MV Agusta Superveloce 1000 Ago (2025) Dilancarkan, Tribut Legenda MotoGP, Giacomo Agostini!

Pengeluar motosikal ikonik Itali, MV Agusta melancarkan model edisi istimewa MV Agusta Superveloce 1000 Ago (2025) yang direka khusus sebagai penghargaan kepada legenda MotoGP Itali, Giacomo Agostini.

TERKINI

6/17/20251 min read

SYARIKAT pengeluar motosikal ikonik Itali, MV Agusta melancarkan model edisi istimewa MV Agusta Superveloce 1000 Ago (2025) yang direka khusus sebagai penghargaan kepada legenda MotoGP Itali, Giacomo Agostini.

Sebelum pergi lebih jauh, kepada sesiapa yang tidak mengenali Agostini, beliau adalah antara pelumba yang memiliki rekod lebih mengagumkan berbanding Valentino Rossi dan Marc Marquez dengan 15 gelaran dunia Grand Prix dalam kabinet trofinya.

Sebagai model edisi terhad, hanya 83 unit MV Agusta Superveloce 1000 Ago (2025) dihasilkan untuk pasaran seluruh dunia yang bersempena ulang tahun ke-83 Agostini.

Tampil dengan reka bentuk klasik MV Agusta yang menjadi kekuatan jenama itu, antara keistimewaan yang boleh dijangka adalah ia menggunakan panel gentian karbon penuh, lengkap dengan sayap aerodinamik di bahagian fairing depan.

Untuk penampilannya, MV Agusta Superveloce 1000 Ago (2025) menggabungkan rekaan ala retro dengan sentuhan moden menggunakan gabungan warna 'Fire Red Matt' dan 'Magnum Silver Matt' yang mengambil inspirasi jentera 'Ago' yang pernah menjuarai galaran di pentas GP.

Di bahagian trenkuasa, MV Agusta Superveloce 1000 Ago (2025) dijana enjin Superquadro 998 cc, 4 Silinder yang menghasilkan 205.2 Hp pada 13,000 rpm dan tork 116 Nm pada 11,000 rpm.

Seperti biasa, setiap pembelian turut memperoleh sijil ketulenan, pelindung motosikal khas, pelana penumpang tambahan dan banyak lagi.

Lebih eksklusif, setiap pemilik Superveloce 1000 Ago akan menerima sut perlumbaan Dainese Demone GP 3X dan helmet AGV Pista GP RR, kedua-duanya direka khas untuk model ini.

Mungkin paling unik, kunci motosikal ini turut disertakan dengan syiling tembaga yang diperbuat daripada trofi kemenangan sebenar Agostini di Imola, menjadikan setiap pemilikan sebagai sebahagian daripada sejarah perlumbaan.

Sistem suspensi motosikal ini menggunakan fork terbalik Öhlins 43mm NIX dan penyerap hentak belakang TTX, kedua-duanya boleh dilaras secara elektronik.

Untuk kawalan optimum, ia turut dilengkapi dengan damper stereng elektronik serta sistem brek Brembo Stylema dengan cakera terapung 320mm.

Kepada yang berminat, setiap unit dilaporkan dijual pada harga €83,000 (RM 420,000).