EDISI Istimewa WMoto ES250i (2024) Diperkenalkan, RM 14.5k

TERKINI

7/30/20241 min read

SYARIKAT pengeluar dan pengedar motosikal tempatan, MForce Bike Holdings (MForce Bike), hari ini mengumumkan versi kemas kini untuk salah satu model skuter suku liternya menerusi pengenalan Edisi Istimewa WMoto ES250i (2024).

Tetapi jangan terlalu teruja, sekalipun tampil sebagai model edisi istimewa, kemas kini yang dilakukan kepada model yang membuat penampilan pada awal tahun 2022 lalu ini hanya membabitkan kosmetik iaitu pilihan warna dan corak grafik baharu.

Dua pilihan warna baharu yang didakwa istimewa itu adalah Hitam dan Putih.

Dan ia datang bersama harga jualan RM 14,508 (asas), tidak termasuk pendaftaran, cukai jalan dan insuran.

Memacu skuter ini adalah enjin Euro4 bersesaran 244.3 cc, 1 Silinder, 4 Lejang, 4 Injap, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, SOHC yang digandingkan dengan transmisi automatik.

Kuasa yang dihamburkan adalah 20.9 Hp pada 8,500 rpm dan tork 21 Nm pada 6,500 rpm.

Ciri-ciri menarik dan informasi mengenai Edisi Istimewa WMoto ES250i (2024) adalah seperti berikut:

  • Sistem kunci pintar

  • Sistem penggera (Alarm Key Finding)

  • Lampu utama, DRL LED

  • Panel meter gabungan LCD, Analog

  • Ruang simpanan bawah pelana 19 liter

  • Fork teleskopik Konvensional KYB (depan)

  • Penyerap hentak berkembar KYB (Belakang)

  • Brek cakera tunggal 240 mm (depan/belakang) ABS 2 Saluran

  • Set roda 110/70-13 (depan), 130/70-13 (belakang)

  • Tinggi pelana 770 mm

  • Berat 147 kg

  • Kapasiti tangki bahan api 12 liter

Menurut MForce, WMoto ES250i Edisi Istimewa (2024) sudah pun berada di cawangan pengedar sah jenama itu dan setiap pembelian menikmati jaminan perbatuan tanpa had untuk tempoh dua tahun.