EDISI Ke-3 Honda Skuterama Jengah Tebrau, Johor, Mula Esok Hingga 15 Okt!

TERKINI

10/11/20231 min read

SELEPAS Lembah Klang dan Pantai Timur, acara Skuterama Honda 2023 anjuran Honda Motor Malaysia akhirnya tiba di Selatan tanah air bagi edisi ke-3 yang dijadual membuka tirainya esok sehingga 15 Oktober ini.

Berlangsung selama empat hari di AEON Mall Tebrau, Johor, seperti edisi sebelum ini, pelbagai acara dan pelbagai pengisian menarik dijalankan termasuk promosi hebat.

Dan menurut Honda Motor Malaysia, edisi ke-3 di Tebrau menjanjikan pengalaman yang lebih mengujakan berbanding dua edisi sebelum ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Boon Siew Honda, Mitsuharu Funase berkata susulan sambutan luar biasa pada edisi pertama dan kedua Skuterama Honda 2023, pihaknya menjanjikan acara lebih dinamik bagi edisi ketiga.

"Kami menawarkan pelanggan kami satu lagi peluang untuk berhubung dengan jenama kami dan mengalami yang terbaik daripada apa yang Honda tawarkan."

"Kami mengalu-alukan jemputan kepada semua peminat motosikal dan orang ramai untuk bersama-sama meraikan semangat Honda di Skuterama edisi ke-3. Ayuh bersama-sama menjadikan acara ini satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan," katanya.

Seperti di dua edisi sebelum ini, antara aktiviti yang dijalankan termasuklab jualan barangan, sesi mewarna kanak-kanak, sudut permainan MotoGP PS5, 'Spot the Difference', simulator 'Riding Trainer', dan 'Dinding Interaktif Bersama Honda.'

Menerusi aktiviti 'Dinding Interaktif Bersama Honda', pengunjung berkongsi detik-detik paling dihargai mereka dengan motosikal Honda, menampal nota melekat dengan kisah-kisah menyentuh hati yang mencipta permaidani pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Kenangan ini kemudiannya diabadikan di media sosial rasmi Honda Motor Malaysia.

Sebagai info, edisi pertama dan kedua Skuterama Honda sebelum ini berlangsung di IOI City Mall Putrajaya pada Julai lalu dengan edisi kedua berlangsung di KTCC Mall, Kuala Terengganu pada bulan lalu.