EDISI Ke-8 Givi Rimba Raid Taman Negara Jangka Lagi 'Sukar', Meriah, Bermula 31 Ogos-2 September 2023!
7/24/20231 min read
PERLUMBAAN motosikal lasak terkemuka negara, Givi Rimba Raid Taman Negara (2023) memasuki edisi kelapan, tahun ini dan sekali lagi dijadual berlangsung di lokasi yang sinonim dengan kelasakan, Taman Negara Kuala Tahan, Pahang pada 31 Ogos hingga 2 September depan.
Bagi edisi kali ini, yang perasmiannya disempurnakan di Genting Highland, minggu lalu, penyertaan yang diterima adalah seramai seramai 270 orang peserta yang membabitkan 25 negara termasuk Malaysia.
Menurut pihak pengurusan Givi Rimba Raid Taman Negara (2023) iaitu Rimba Adventures Sdn Bhd, penyertaaan itu merangkumi 219 penyertaan berkumpulan dan 51 penyertaan secara individu.
Secara keseluruhan, sebanyak 19 jenama motosikal bakal membuat penampilan pada edisi kali ini yang membabitkan jenama-jenama utama seperti Yamaha, Honda, BMW, KTM, Triumph dan pelbagai lagi.
Tiga kategori yang dipertandingkan iaitu MasterClass A, Class B dan Class C.
Berbanding 145 km (Jarak perlumbaan) pada tahun lalu, jarak perlumbaan untuk edisi kali ini turut dipanjangkan kepada 220 km dengan lokasi getir seperti 'Bukit Taubat' dijangka terus memberikan kesukaran kepada para peserta.
Dan lebih menarik, seramai 20 orang peserta wanita akan turut mengambil bahagian yang membabitkan enam negara.
Pengarah Rimba Adventures Sdn Bhd, Dato' Capt (B) Nik Huzlan Nik Hussein, berkata, pihaknya menjangkakan persaingan bagi edisi kali ini lebih sengit dan agresif kerana para peserta dikatakan sudah pun melakukan persiapan lebih awal.
"Tahun lalu, lebih 100 peserta tak habiskan perlumbaan. Untuk tahun ini, saya menjangkakan hanya 60 peratus peserta akan berjaya menamatkan perlumbaan," katanya.