EDISI Terhad CFMOTO 450SR S Aspar Replica (2025), 451 Unit Sahaja!

TERKINI

3/1/20251 min read

SEBAGAI antara cara meraikan kejayaan 'Triple Crown' yang diperoleh oleh pasukan CFMoto Aspar di pentas Moto3 musim lalu, pengeluar motosikal gergasi China, CFMOTO memperkenalkan model edisi terhad CFMOTO 450SR S Aspar Replica (2025).

Dan sebagai model edisi terhad, hanya 451 unit CFMOTO 450SR S Aspar Replica (2025) dihasilkan untuk pasaran seluruh dunia.

Seperti diketahui, pasukan CFMOTO Aspar menerusi pelumbanya, David Alonso mencatat kejayaan cukup mengagumkan pda musim 2024.

Selain menjuarai gelaran dunia pelumba, pasukan itu turut menjuarai gelaran kategori pengeluar dan pasukan.

Bagi Alonso, pelumba kelahiran Colombia itu tampil dengan prestasi cukup mengagumkan apabila memenangi 14 daripada 20 perlumbaan yang ditawarkan dan memecahkan rekod kemenangan terbanyak yang sebelum ini dipegang legenda Itali, Valentino Rossi sejak tahun 1997.

Dari sudut penampilan, CFMOTO 450SR S Aspar Replica (2025) tampil dengan corak 'liveri' dan skema warna serta grafik yang mirip digunakan pasukan itu di Moto3.

Apa yang lebih menarik, ia turut menampilkan grafik yang menunjukkan pasukan itu memenangi tiga gelaran di bahagian tangki bahan api dan setiap unit turut memiliki nombor siri yang diukir di bahagian 'triple clamp'.

Mengulas ringkas spesifikasi CFMOTO 450SR S Aspar Replica (2025), ia kekal dengan padanan enjin bersesaran 450 cc, Parallel-twin, 270° crankshaft yang digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual lengkap ciri klac 'Slipper' dan sistem 'Quickshifter'.

Kuasa yang dihamburkan adalah sebesar 46.2 Hp pada 9,250 rpm dan 39.3 Nm tork pada 7,750 rpm.

Sebagai model yang sininim dengan prestasi, CFMOTO 450SR S Aspar Replica (2025) menggunakan sistem suspensi iaitu fork jenis terbalik (USD) dan penyerap hentak tunggal (belakang) dengan ciri boleh laras.

Menggunakan sistem lengan ayun tunggal, sistem brek pula menggunakan kaliper Brembo M40 lengkap dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS).

Seperti motosikal lumba, ia turut memiliki 'winglet' untuk meningkatkan ciri aerodinamik. Ciri-ciri menarik lain adalah seperti penggunaan panel meter TFT 5 inci lengkap dengan sambungan ke telefon bimbit.

Di Eropah, harga yang diumumkan untuk CFMOTO 450SR S Aspar Replica (2025) adalah € 7,199 (RM 33.3k).

Tidak diketahui sama ada CFMOTO Malaysia merancang untuk cuba membawa masuk CFMOTO 450SR S Aspar Replica (2025) tetapi ia jelas boleh menjadi koleksi yang menarik kepada peminatnya.