EDISI Terhad Moto Guzzi V100 Mandello Aviazione Navale (2023) Dah Ada Kat Malaysia, Tapi...

7/21/20231 min read

SELAIN Moto Guzzi V100 Mandello versi Standard dan S (Sports), ramai yang tak sedar yang Moto Guzzi Malaysia turut membawa masuk penawaran edisi terhad Moto Guzzi V100 Mandello Aviazione Navale (2023).

Begitupun jangan terlalu teruja, terutama kepada peminat Moto Guzzi kerana unit yang tersedia di Malaysia itu sememangnya cukup terhad - hanya satu.

Dan seperti yang anda jangka, ia sudah pun mempunyai pemilik (katanya orang kuat Didi Group).

Sebagai model edisi istimewa, hanya 1,913 unit Moto Guzzi V100 Mandello Aviazione Navale dihasilkan untuk pasaran seluruh dunia.

Mengapa, 1,913? Ini kerana ia adalah angka tribut kepada ulang tahun penubuhan divisyen udara bagi tentera laut Itali.

Kepada yang tak tahu, pengasas Moto Guzzi, Carlo Guzzi dan Giorgio Parodi pernah berkhidmat dengan tentera laut udara Itali selain seorang juruterbang, Giovanni Ravelli.

Ketiga-tiganya merancang untuk menyertai industri motosikal selepas Perang Dunia 2 berakhir.

Tetapi malangnya, Ravelli maut dalam kemalangan pada 1919. Jadi Guzzi dan Parodi memilih helang sebagai simbol kenangan mereka kepada rakan.

Menggunakan trenkuasa dan spesifikasi yang sama dengan model S, keunikan Moto Guzzi V100 Mandello Aviazione Navale (2023) adalah seperti berikut:

  • Guna liveri kapal terbang pejuang F-35B.

  • Dapat plak ulang tahun

  • Penutup motosikal istimewa

  • Ada lambang Tentera Laut Udara Itali dan logo Unit 'Boarded Aircraft'.

Sedikit info, Moto Guzzi V100 Mandello Standard (2023) dijual pada harga RM 99,900 (asas) manakala Moto Guzzi V100 Mandello S (2023) memiliki tanda harga RM 117,900 (asas).

Antara kelebihan Moto Guzzi V100 Mandello S (2023) adalah ia menggunakan fork USD Ohlins Smart EC 2.0 semi-aktif 43mm boleh laras penuh dan monoshock Ohlins Smart EC 2.0 semi-aktif boleh laras penuh.