EDISI Terhad Royal Enfield x Icon Motorsports Shotgun 650 (2025) Tiba Di Malaysia, 5 Unit, RM 38.5k!
TERKINI
2/6/20251 min read


ROYAL Enfield Malaysia mengumumkan kehadiran model edisi terhad, Royal Enfield x Icon Motorsports Shotgun 650 (2025) di pasaran tempatan bersama harga menarik RM 38,500 (asas).
Dihasilkan secara terhad 100 unit untuk seluruh dunia dengan 25 diperuntukkan untuk pasaran Asia Tenggara, hanya lima unit Royal Enfield x Icon Motorsports Shotgun 650 (2025) diperoleh Royal Enfield Malaysia.
Seperti biasa, harga yang diumumkan untuk model yang terkenal sebagai 'Custom Cruiser' ini adalah asas, tidak termasuk yuran pendaftaran, cukai jalan dan insuran.
Sebagai model edisi terhad dan kebiasaan menjadi buruan para pengumpul, antara keistimewaan Royal Enfield x Icon Motorsports Shotgun 650 (2025) adalah skema warna dan corak grafik yang dipadankan kepada motosikal berkenaan.
Seperti Icon Motorsports yang juga syarikat pengeluar pakaian sukan permotoran terkenal, corak liveri yang ditampilkan mendapatkan inspirasi perlumbaan menerusi dengan pelekat menarik.
Rim yang digunakan juga berwarna emas disamping pelana berwarna merah.
Lebih menarik, setiap pembelian turut mendapat jaket 'Slabtown Intercept RE yang direka oleh Icon.
Tiada perubahan dari sudut trenkuasa dengan Royal Enfield x Icon Motorsports Shotgun 650 (2025) kekal dengan enjin bersesaran 648 cc, Parallel Twin, Penyejuk Udara/Minyak bersama transmisi 6 kelajuan klac manual.
Kuasa yang dihasilkan adalah 46.3 Hp pada 7,250 rpm dan tork 52.3 Nm pada 5,650 rpm.
Di bahagian suspensi, motosikal ini dipadankan dengan fork jenis terbalik (USD) Showa 43 mm (tanpa ciri pelarasan) dan penyerap hentak berkembar dengan pelarasan 'preload'.
Sistem henti pula menggunakan cakera berkembar 320 mm dengan kaliper 2 piston ByBre (depan) dan cakera tunggal dengan kaliper 2 piston (belakang) lengkap dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dua saluran.
Set roda pula adalah 100/90-18 (depan) dan 150/70-17 (belakang).
Antara ciri-ciri yang boleh dianggap menarik adalah seperti sistem lampu LED penuh dan panel meter analog/digital berbentuk bulat yang lengkap dengan sistem navigasi 'Tripper'.
Turut memiliki port pengecas USB, informasi lain adalah seperti kapasiti tangki bahan api 13.8 liter, ketinggian pelana 795 mm dan berat 240 kg.
Sebagai info, Royal Enfield Shotgun 650 dilancarkan di pasaran Malaysia pada tahun lalu dan diumumkan pada harga bermula RM 34,900.








