EDISI Terhad Vespa 946 Dragon (2024) Kini Di Malaysia, RM 103.9k

TERKINI

6/4/20241 min read

VESPA edisi terhad yang dihasilkan mengikut tema kalendar zodiak China, Vespa 946 Dragon (2024) diperkenalkan di pasaran Malaysia dan tiba bersama harga menarik - RM 103,888 (asas).

Pelancaran model yang dihasilkan sebanyak 1,888 unit seluruh dunia itu untuk pasaran tempatan dibuat sempena sambutan Hari Kebangsaan Itali kali ke-78 di Malaysia, baru-baru ini.

Seperti model edisi terhad zodiak lain, Vespa 946 Dragon (2024) tampil dengan pilihan skema warna istimewa dan dipadankan dengan corak grafik yang mengujakan.

Untuk Vespa 946 Dragon (2024), seperti namanya ia dipadankan dengan corak grafik naga berwarna hijau emerald.

Dan model 946 zodiak lain, Vespa 946 Dragon (2024) turut digandingkan dengan rim, bar hendal dan pelana yang tampil dengan kemasan mewah dan berwarna emas selain pelbagai aksesori berkaitan tahun naga.

Mengulas ringkas spesfikasi mekanikal, Vespa 946 Dragon (2024) menggunakan platform 946 standard.

Justeru, ia dijana enjin bersesaran 150 cc, 1 Silinder, 4 Injap, Suntikan Bahan Api dan digandingkan dengan transmisi automatik. Kuasa yang dihasilkan adalah 12.7 Hp pada 7,750 rpm dan tork 12.8 Nm pada 6,500 rpm.

Berada dalam barisan model elit Vespa, ia turut dipadankan dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABD) dua saluran, Kawalan Traksi, Sistem Lampu LED penuh dan panel meter digital LCD.

Menurut Vespa Malaysia, Vespa 946 Dragon (2014) kini boleh didapati di Motoplex Petaling Jaya, Sungai Buloh, Butterworth dan Johor Bahru.