EDISI Terhad Yamaha XMax Tech Max Ohlins (2024) Diperkenal Di Thailand, RM 29.8k!

TERKINI

1/12/20241 min read

YAMAHA Motor Thailand, baru-baru ini memperkenalkan model Edisi Terhad Yamaha XMax Tech Max Ohlins (2024) yang seperti namanya, lengkap dengan sistem suspensi daripada jenama terkemuka Ohlins.

Tiba dengan pilihan warna tunggal yang tampak premium 'Brown & Black', harga yang ditawarkan untuk Yamaha XMax Tech Max Ohlins (2024) adalah 224,900 THB (RM 29,783).

Begitupun jangan terlalu teruja, hanya suspensi belakang skuter maxi popular iaitu penyerap hentak berkembar dipadankan dengan suspensi Ohlins.

Dan seperti yang boleh dijangka, sistem suspensi berkenaan lengkap dengan ciri pelarasan penuh (Rebound, Preload, Compression) untuk tunggangan dan keselesaan yang maksimum.

Sebagai tambahan, Ohlins turut memberikan jaminan berbeza untuk sistem suspensinya iaitu selama 5 tahun atau 50,000 km perjalanan.

Selain penyerap hentak daripada Ohlins, setiap pembelian Yamaha XMax Tech Max Ohlins (2024) turut akan menerima sepasang penyerap hentak Standard yang dibekalkan oleh Yamaha.

Dan antara kelainan lain untuk Yamaha XMax Tech Max Ohlins (2024) adalah pelana istimewa dan eksklusif Tech Max selain penggunaan rim berwarna emas.

Sedikit info, generasi terbaharu Yamaha XMax tiba di pasaran Thailand pada penghujung 2022.

Tidak seperti Yamaha XMax di Malaysia, ia dipadankan dengan enjin bersesaran 292 cc, 1 Silinder, 4 Lejang, 4 Injap, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, SOHC dengan sistem transmisi automatik.

Kuasa yang dihasilkan adalah 27.6 Hp pada 8,000 rpm dan tork 29 Nm pada 6,000 rpm.

Dan seperti namanya 'Tech Max', ia turut dipadankan dengan pelbagai teknologi terkini antaranya penggunaan panel meter TFT itu turut mempunyai pelbagai fungsi dan turut boleh disambung dengan telefon pintar menerusi aplikasi Y-Connect menerusi Bluetooth. Sebagai tambahan, ia turut mempunyai sistem navigasi Garmin StreetCross.

Ciri-ciri menarik lain termasuklah Sistem Kawalan Traksi, Sistem Lampu LED penuh, storan bawah pelana yang boleh memuatkan 2 helmet, Sistem Kunci Pintar, Visor angin dan bar hendal boleh laras.

Dengan populariti tinggi yang turut dimiliki Yamaha XMax di Malaysia, tidak diketahui sama ada pihak Hong Leong Yamaha Motor mahu melakukan promosi yang sama namun jika ada, ia memang sesuatu yang menarik.