'EIKY 13' Wakil Malaysia Pertama di Siri Global MotoGP eSport, Jadi 'Pelumba' Cryptodata RNF MotoGP Secara Merit!

8/7/20231 min read

AISY Amani Zikry atau nama 'mayanya' di arena permainan video Eiky 13, mencipta sejarah apabila menjadi pelumba Malaysia pertama bersaing di perlumbaan Siri Global MotoGP eSport 2023.

Pengumuman itu dibuat sendiri oleh pasukan Cryptodata RNF MotoGP menerusi satu kenyataan, hari ini yang Eiky 13 kini secara rasmi adalah 'pelumba' pasukan itu bagi Siri Global MotoGP eSport 2023.

Lebih membanggakan, pemilihan Eiky dikatakan adalah mengikut 'merit' apabila dia bergelar pelumba kedua terbaik dalam ranking permainan video itu bagi kategori 'Rest of The World' 2023.

Kejayaan Eiky turut menyaksikan ini kali pertama Malaysia mempunyai wakil di kejuaraan berkenaan dan mengibarkan cabaran Jalur Gemilang di kejohanan berkenaan.

Pengasas dan Prinsipal Pasukan CryptoDATA RNF MotoGP, Datuk Razlan Razali menyifatkan kejayaan Eiky menyertai pasukan itu sebagai wakil Malaysia pertama di Siri MotoGP eSport Global sebagai amat membanggakan.

"Persaingan amat tinggi. Sebagai satu-satunya Prinsipal Pasukan Malaysia di paddock MotoGP, saya gembira yang kami dapat memainkan peranan dalam menyokong bakat daripada tanah air saya sendiri.

"Sebagai pasukan, kami yakin dan percaya dengan potensi Eiky untuk menjadi amat kompetitif dan tak sabar untuk meraih musim penuh kejayaan bersama," kata Razlan dengan pemilihan Eiky turut dibuat menerusi pandangan kelab MEM E-Sport.

Eiky dalam pada itu gembira dan berterima kasih terutama kepada Razlan dan pasukan atau peluang hebat yang diperolehnya.

"Saya mahu memberikan prestasi yang terbaik dan menjadi kompetitif dari kalangan pelumba-pelumba MotoGP eSports yang berpangalaman. Terima kasih kepada atas semua sokongan dan saya teruja untuk memulakan pusingan pertama pada bulan ini," katanya.

Mengikut jadual perlumbaan daripada Siri Global MotoGP eSport, perlumbaan Pusingan 1 dijadual berlangsung pada 25 Ogos depan dengan perlumbaan Sprint berlangsung di Litar Mugello, Perlumbaan 1 di Litar Catalunya dan Perlumbaan 2 di Litar Misano.

Secara keseluruhan, sebanyak 4 pusingan akan berlangsung dengan pusingan terakhir dijadual di Barcelona, Sepanyol pada November depan.