EL Diablo Yakin Kemampuan Yamaha Untuk Bangkit
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
5/31/20251 min read


PELUMBA bintang Monster Yamaha MotoGP, Fabio Quartararo menegaskan dia yakin dengan kemampuan pengeluar Jepun itu untuk bangkit.
Selepas menjuarai gelaran dunia pada 2021, Quartararo terpaksa menyaksikan Yamaha mengalami penurunan prestasi yang drastik khususnya pada musim 2023 dan 2024.
Yamaha dilaporkan terpaksa menjadikan pelumba kelahiran Perancis itu sebagai pelumba menerima gaji terbanyak di grid dengan bayaran € 12 juta (RM 57.9 juta) semusim bagi mengekalkannya bersama pasukan itu.
Perjanjian itu menyaksikan Quartararo akan kekal bersama Yamaha sehingga penghujung 2026 dan melihat kepada prestasi yang ditampilkan pasukan itu, memang ada sebab untuk dia bersikap optimis.
"Saya benar-benar percaya dengan projek ini," kata Quartararo memetik laporan DAZN. "Tetapi saya juga tahu jika ia tidak berhasil saya akan pergi mencari projek lain yang sudah pun bersedia."
Selepas kembali memiliki pasukan satelit pada musim ini iaitu Pramac, Yamaha kembali menjadi pencabar utama di kejuaraan itu.
Dan ia dibuktikan apabila Quartararo merangkul petak utama ketiga berturut-turut di Le Mans dan jika tidak disebabkan jenteranya mengalami masalah mekanikal, dia berkemungkinan besar sudah menamatkan kemarau kemenangannya.
"Berurusan dengan orang Jepun sentiasa baik, tetapi kadang-kadang terlalu lambat," katanya. "Tetapi mereka yang berada di sini sudah menjadi sedikit Eropah.
"Kami tidak perlu menunggu selama dua bulan untuk melihat sebarang peningkatan melepasi ujian yang berada jauh beribu-ribu kilometer, jika perubahan itu berfungsi, kami terus menggunakannya."
