'El Pescao' Kebal Di Motegi, Raih Kemenangan Ke-6 Berturut-Turut
Kemenangan di Motegi menyaksikan pelumba bintang JDT Racing Team, Hafizh Syahrin yang diberi julukan El Pescao mengekalkan rekod bersih 100 peratus kemenangan pada musim ini, sekali gus mengukuhkan cengkamannya selaku pendahulu kejuaraan
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
6/14/20261 min read


PENYANDANG juara kelas elit ASB1000, Hafizh Syahrin Abdullah terus membuktikan kejaguhannya di pentas Asia apabila melakar kemenangan ke-6 berturut-turutnya musim ini selepas menakluk Pusingan 3 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2026 di Mobility Resort Motegi, Jepun.
Apa yang lebih menakjubkan, pelumba bintang JDT Racing Team itu mengekalkan rekod bersih 100 peratus kemenangan pada musim ini, sekali gus mengukuhkan cengkamannya selaku pendahulu kejuaraan.
Memulakan perlumbaan 15 pusingan itu di petak utama, Hafizh bagaimanapun terpaksa berpeluh pada awal saingan apabila diberikan tentangan sengit oleh dua pencabar utama, Nakarin Atiratphuvapat (Honda Racing Thailand) dan Keito Abe (SDG HARC-PRO Honda Philippines).
Begitupun, sebaik sahaja pelumba yang mesra dengan julukan 'El Pescao' itu berjaya merampas kembali kedudukan pendahulu, dia tidak lagi mampu dicabar.
Malah, pertarungan merebut tempat kedua antara Nakarin dan Abe ternyata memberi kelebihan buat bekas pelumba MotoGP negara itu untuk terus menjarakkan diri.
Hafizh kemudian melepasi garisan penamat dengan catatan masa 27 minit 29.019 saat (s), meningggalkan Abe di tempat kedua dengan kelebihan agak selesa, 4.979 saat di depan. Nakarin pula terpaksa berpuas hati melengkapkan kedudukan podium di tempat ketiga.
Dalam pada itu, nasib berbeza dialami kem Idemitsu Honda Racing Malaysia apabila aksi di bumi matahari terbit itu bertukar menjadi mimpi ngeri buat mereka.
Kedua-dua pelumba sandaran pasukan, Md Zaqhwan Zaidi dan Azroy Hakeem Anuar mengalami nasib malang apabila terbabit dalam kemalangan.
Selepas menyapu bersih kesemua perlumbaan yang ditawarkan setakat ini, Hafizh kini mengalihkan tumpuan ke pusingan seterusnya yang dijadualkan berlangsung di Litar Antarabangsa Mandalika, Indonesia pada 7 hingga 9 Ogos depan.

