EMOS Kemas Kini Penawaran Modenas Z250 ABS (2024), Harga Asas Kini RM 20.6k!

TERKINI

10/30/20231 min read

EDARAN Modenas Sdn Bhd (Emos), hari ini mengumumkan kemas kini terbaharu untuk model 'Naked' aras mula popularnya, Modenas Z250 ABS (2024) yang dijual pada harga RM 20,600 (Asas).

Begitupun, kemas kini yang dijalankan hanya membabitkan 'kosmetik' iaitu pilihan warna dan corak grafik yang baharu.

Dan pilihan warna baharu yang diperkenalkan adalah Metallic Matte Graphenesteel Grey/Ebony Frame Golden Blazed Green yang dikatakan dapat memberi 'kesegaran' kepada motosikal berkenaan.

Sebelum ini, Modenas Z250 ABS yang memasuki pasaran tempatan pada Julai tahun lalu ditawarkan dengan pilihan warna Metallic Spark Black.

Mengulas ringkas spesifikasi trenkuasa, Modenas Z250 ABS dijana enjin bersesaran 249 cc, 2 Silinder, 4 Lejang, 8 Injap, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, DOHC yang digandingkan dengan transmisi enam kelajuan lengkap dengan klac Assist & Slipper.

Kuasa yang dihamburkan adalah 37 Hp pada 12,500 rpm dengan tork 23 Nm pada 10,000 rpm.

Di bahagian suspensi, motosikal ini menggunakan fork teleskopik konvensional 41 mm (depan) dan penyerap hentak tunggal (belakang) dengan ciri pelarasan (preload).

Sistem brek pula seperti namanya lengkap dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dua saluran dengan padanan saiz cakera (tunggal) 310 mm (depan) dan 220 mm (belakang)

Set roda yang digunakan adalah 110/70-17 (depan) dan 140/70-17 (belakang) dengan kapasiti tangki bahan api 14 liter.

Kepada yang berminat, anda boleh melayari laman web https://modenas.my/v2/ atau hubungi Talian Bebas Tol di 1-800-880-008 atau WhatsApp Careline di +6019-570 8135.