EMOS Lancar Modenas Ninja 650 (2023) Di Pasaran Tempatan, 2 Pilihan Warna, Harga Mula RM 35.2k!

PELANCARAN

7/17/20231 min read

SEPERTI dijanjikan, Modenas melancarkan salah satu model 'Sportbike' aras tengah yang ditunggu-tunggu - Modenas Ninja 650 (2023) di pasaran tempatan bersama harga pengenalan menarik bermula RM 35,200 (asas).

Kepada yang tak tahu, Modenas Ninja 650 adalah model yang dijenamakan semula daripada Kawasaki Ninja 650 hasil kerjasama Modenas dan Kawasaki di pasaran tempatan.

Dua pilihan warna ditawarkan untuk Modenas Ninja 650 dengan penawaran harga berbeza seperti berikut:

- Metallic Matte Graphenesteel Gray - RM 35,200

- Lime Green/Ebony - RM 35,900

Seperti biasa, harga yang disyorkan oleh Emos adalah asas, tak termasuk yuran pendaftaran, cukai jalan dan insuran.

Seperti dijanjikan oleh pihak pengurusan tertinggi Modenas dan Kawasaki Malaysia, Modenas Ninja 650 yang dibawa masuk ke pasaran Malaysia adalah versi terbahru di pasaran antarabangsa.

Tampil dengan rekaan terkini dan 'Sporty', Modenas Ninja 650 (2023) dikuasakan enjin bersesaran 649 cc, 2 Silinder Parallel Twin, 8 Injap, 4 Lejang, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, DOHC yang digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual.

Kuasa yang dihamburkan adalah 68 Hp pada 8,000 rpm dan tork 63.9 Nm pada 6,750 rpm.

Di bahagian suspensi, Modenas Ninja 650 (2023) dipadankan dengan fork teleskopik konvensional (depan) dan penyerap hentak tunggal dengan ciri pelarasan preload (belakang).

Sistem brek menggunakan cakera berkembar 300 mm dengan kaliper dua piston (depan) dan cakera berkembar 220 mm (belakang) lengkap dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dua saluran.

Ciri-ciri menarik lain dan moden termasuklah panel meter digital TFT penuh lengkap dengan sistem sambungan telefon pintar melalui aplikasi “Rideology” oleh Kawasaki.

Informasi penting lain termasuklah tangki bahan api 15 liter, ketinggian pelana 790 mm dan berat 193 kg.

Kepada yang berminat, Modenas Ninja 650 (2023) dijadual tiba ke cawangan pengedar sah Kawasaki di seluruh Malaysia mulai akhir bulan Julai.

Untuk maklumat lanjut, anda boleh melayari laman web rasmi MODENAS atau KAWASAKI Malaysia di https://modenas.my/v2/ , http://www.kawasaki.com.my/ atau hubungi Talian Bebas Tol di 1-800-880-008 atau WhatsApp Careline di +6019-570 8135.