Emos Perkenal Jaminan Baru Buat Pemilik Kawasaki/Modenas, Had Perbatuan Kini Tiada

7/3/20231 min read

KHABAR baik buat bakal pemilik jenama Kawasaki, kerjasama Modenas/Kawasaki di Malaysia, EMOS tawar jaminan 2 Tahun, Perbatuan Tanpa Had, pembelian bermula 1 Julai!

Pengedar eksklusif jenama Kawasaki di Malaysia, Edaran Modenas Sdn Bhd (EMOS) mengemaskini perlindungan jaminan barisan modelnya, termasuk model yang dijenamakan semula kepada Modenas.

Untuk program jaminan terbaharu ini, yang bermula pada 1 Julai 2023, EMOS memperkenalkan waranti dua tahun dan menariknya, perbatuan tanpa had.

Program terbaharu ini menggantikan waranti sebelum ini iaitu jaminan dua tahun atau 20,000 km (mana yang tiba dahulu).

EMOS dalam satu kenyataan berkata program waranti terbaru itu akan berkuatkuasa pada model yang didaftarkan mulai 1 Julai 2023.

Dan program jaminan itu bukan saja untuk model menggunakan lencana Kawasaki, malah termasuk model yang dijenamakan semula sebagai Modenas merangkumi 250 cc hingga 1000 cc.

Selain itu, program waranti terbaru ini turut merangkumi pakej bantuan kerosakan tepi jalan 24/7.

Sementara itu, EMOS juga meminta pemilik Kawasaki untuk menghantar motosikal mereka ke pusat servis rasmi Kawasaki mengikut jadual servis yang telah ditetapkan bagi mengelakkan sebarang masalah.

Kawasaki Malaysia di bawah pengedaran EMOS ketika ini menawarkan pelbagai model antaranya Kawasaki Z900, Z900 RS, Versys 1000, Ninja 1000SX dan ZX-10R.

Untuk model Kawasaki yang dijenamakan semula kepada Modenas hasil kerjasama kedua-dua syarikat adalah Modenas Ninja 250 ABS/Ohlins, Z250 dan Vulcan 650.