EMOS, anak syarikat Motosikal Dan Enjin Nasional (MODENAS) yang juga pengedar eksklusif jenama Kawasaki di Malaysia mengemaskini penawarannya di pasaran dengan memperkenalkan Kawasaki Z900RS SE (2024).
Sebagai permulaan, Kawasaki Z900RS SE (2024) yang bergaya retro klasik seperti diketahui bukan model yang dipasang di Gurun, Kedah namun model import sepenuhnya atau CBU.
Dan harga yang diumumkan oleh Emos untuk motosikal berkenaan yang mendapat beberapa naik taraf ini adalah RM 73,300 (asas), tidak termasuk cukai jalan, insuran dan pendaftaran.
Hanya satu varian dan pilihan warna diperkenalkan iaitu Metallic Flat Spark Black/Metallic Matte Carbon Gray.
Berbalik kepada naik taraf, antara yang dipertingkatkan adalah di bahagian suspensi dan sistem brek.
Untuk suspensi belakang, ia kini dipadankan dengan penyerap hentak tunggal daripada jenama Ohlins S46 yang memiliki ciri boleh rasa penuh.
Untuk mengimbangi kualiti suspensi belakang, Kawasaki turut menala semula suspensi depan (fork USD) yang turut memiliki ciri pelarasan penuh dan dipadankan dengan warna emas.
Selain meningkatkan kualiti tunggangan Kawasaki Z900RS SE, ia juga dikatakan menambah tahap 'kehenseman' motosikal berkenaan.
Menambah lagi keistimewaan model istimewa ini, sistem brek depan turut menggunakan sistem daripada Brembo dengan cakera berkembar 300 mm dan kaliper radial-mount monobloc M4.32.
Dan turut menarik adalah kedua-dua rim turut dipadankan dengan warna emas.
Mengulas ringkas trenkuasa, Kawasaki Z900RS SE (2024) digandingkan dengan enjin bersesaran 948 cc, 4 Silinder Sebaris, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api bersama transmisi 6 kelajuan klac manual.
Kuasa yang dihamburkan adalah sebesar 111 Hp pada 8,500 rpm dan tork 98.5 Nm pada 6,500 rpm.
Dari sudut teknologi, motosikal ini turut memiliki Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dan sistem Kawalan Traksi Kawasaki (KTRC).
Informasi lain adalah seperti penggunaan panel meter jenis gabungan analog digital LCD, berat 215 kg, kapasiti tangki bahan api 17 liter dan sistem lampu LED.
Kepada yang berminat, Kawasaki Z900RS SE (2024) akan mula tiba di cawangan pengedar Kawasaki All-Star bermula Oktober ini.