EMOS Umum Harga Kawasaki Ninja ZX-6R (2025), Tempahan Dibuka, RM 59.9k!

TERKINI

11/3/20241 min read

KAWASAKI Malaysia akhirnya mendedahkan harga jualan salah satu model yang kehadirannya di pasaran tempatan antara dinanti-nantikan, Kawasaki Ninja ZX-6R (2024).

Turut dipertontonkan di reruai Kawasaki Malaysia sempena Grand Prix Malaysia 2024, harga yang diumumkan oleh pengedar rasminya, Emos adalah RM 59,900 (asas).

Seperti biasa, harga yang diumumkan tidak termasuk cukai jalan, insuran dan pendaftaran.

Dua pilihan warna ditawarkan untuk pasaran tempatan iaitu:

  • Metallic Flat Spark Black/Ebony

  • Lime Green/Ebony

Seperti diketahui, Kawasaki Ninja ZX-6R (2024) adalah model yang dipasang di kilang Modenas di Gurun, Kedah.

Malah ia sudah pun menjadi salah satu model import untuk pasaran negara China ketika ini.

Sebagai antara model terbaharu jenama Jepun itu, Kawasaki Ninja ZX-6R (2024) adalah model yang berada dalam segmen prestasi. Membuat kemunculan global tahun lalu, pelbagai pembaharuan dilakukan termasuk di bahagian rekaan yang tampak lebih 'segar' selain makin canggih.

Di bahagian trenkuasa, Kawasaki Ninja ZX-6R (2024) dipadankan dengan enjin bersesaran 636 cc, 4 Silinder Sebaris, 16 Injap, 4 Lejang, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, DOHC yang sudah patuh Euro5.

Ia digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual lengkap klac Assist & Slipper dengan kuasa yang dihamburkan adalah 124 PS pada 13,500 rpm (Tanpa Ram Air) dan 129 PS (Ram Air Diaktifkan) dan tork 69 Nm pada 11,000 rpm.

Di bahagian teknologi, antara yang dikemaskini adalah Kawasaki Ninja ZX-6R (2024) kini memiliki 4 mod tunggangan dengan ciri bantuan tunggangan elektronik termasuklah Kawasaki Traction Control (KTRC), Kawasaki Intelligent anti-lock Brake System (KIBS), KQS (Kawasaki Quick Shifter) dan Rem ABS KIBS (Kawasaki Intelligent anti-lock Brake System).

Sistem suspensi menggunakan fork jenis terbalik (USD) Showa SFF-BP (Separate Function Fork – Big Piston) dan penyerap hentak tunggal juga daripada jenama Showa dengan ciri pelarasan (belakang).

Informasi lain adalah seperti penggunaan lampu depan projektor LED, panel meter TFT berwarna 4.3 inci lengkap dengan sambungan ke telefon bimbit.

Sebagai perbezaan, Kawasaki ZX-6R (2024) ketika dilancarkan di pasaran Indonesia diberikan tanda harga Rp. 359,900,000 (RM 108,290) OTR (Atas jalan) Jakarta.

Menurut Emos, sempena pengumuman harga, tempahan untuk Kawasaki Ninja ZX-6R (2024) sudah mula dibuka dengan pelancarannya dijadual berlangsung pada bulan depan.