EMOS Umum Harga Modenas Ninja ZX-25R SE (2023), Hanya RM 33.9k!

TULAR

8/18/20231 min read

TEKA teki membabitkan motosikal 'Sportbike' yang cukup lama dinantikan di pasaran tempatan, Modenas Ninja ZX-25R (2023) akhirnya dinoktahkan, hari ini oleh pengedarnya, Emos.

Dalam satu kenyataan media, Emos atau Edaran Modenas Sdn Bhd yang juga anak syarikat milik penuh Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (Modenas) dan pengedar rasmi Kawasaki Malaysia mengumumkan harga rasmi model berkenaan.

Seperti dijangka, motosikal berkenaan menggunakan lencana Modenas dan hanya satu varian diumumkan iaitu Modenas Ninja ZX-25R SE (2023).

Harga yang ditawarkan adalah RM 33,900 (asas) tak termasuk yuran pendaftaran, cukai jalan dan insuran.

Dua pilihan warna ditawarkan iaitu:

  • Lime Green/Ebony

  • Metallic Matte Graphenesteel Grey/Ebony.

Mengulas mengenai harga yang diumumkan, Ketua Pegawai Pemasaran Modenas, George Kashiwagi berkata: “Titik harga bukan sahaja menjadi tanda tahap dedikasi Syarikat dalam menyediakan motosikal prestasi bertaraf dunia malahan ia memudahkan lagi rakyat Malaysia untuk memilikinya.”

Ketua Pegawai Eksekutif Modenas, Roslan Roskan berkata: "Modenas ZX-25R SE ini amat simbolik dimana ia menggabungkan inovasi, prestasi dan semangat yang dikongsi bersama Modenas dan Kawasaki. Ia juga turut menjadi titik permulaan baharu dan bakal menukar sejarah dunia permotoran di Malaysia.”

Mengulas trenkuasa, Modenas Ninja ZX-25R SE (2023) dipacu enjin bersesaran 249 cc, 4 Silinder Sebaris, 16 Injap, DOHC, 4 Lejang, Penyejuk Cecair. Kuasa yang dihamburkan ialah 45 Hp pada 15,500 rpm dan tork 21 Nm pada 13,000 rpm.

Sebagai jentera paling 250 cc paling berprestasi di pasaran ketika ini, Modenas Ninja ZX-25R SE (2023) turut dipadankan dengan teknologi canggih yang kebiasaan tidak dimiliki pencabar lain dalam kelasnya seperti Power mode, Assist & Slipper clutch, Quick shifter dan Kawasaki Traction Control (KTRC).

Kepada yang berminat untuk menjadi pemilik terawal Modenas ZX-25R SE (2023), anda boleh kunjungi pengedar sah Kawasaki All-Star seluruh Malaysia dengan tempahan masih lagi dibuka.

Untuk maklumat lebih lanjut, boleh layari laman sesawang https://www.kawasaki.com.my/kawasaki/all-star.