EMOS Umum Harga Modenas Ninja ZX-25RR (2024), Asas RM 36.5k!

TERKINITULAR

3/21/20242 min read

EDARAN Modenas Sdn Bhd (Emos), hari ini mengumumkan ketibaan satu lagi model yang kehadirannya dinanti-nanti di pasaran tempatan, Modenas Ninja ZX-25RR (2024).

Tiba sebagai varian tertinggi dalam keluarga Ninja ZX-25R, Modenas Ninja ZX-25RR (2024) seperti dijangka tiba pada harga lebih tinggi berbanding Modenas ZX-25R SE iaitu RM 36,500 (asas).

Seperti biasa, harga yang diumumkan itu adalah seperti disyorkan pengeluar dan tidak termasuk pendaftaran, insuran dan cukai jalan.

Sebagai perbandingan, Modenas ZX-25R SE yang diperkenalkan pada September tahun lalu tiba harga asas RM 33,900 (asas) sebelum ini.

Ditawarkan dengan pilihan warna tradisi 'perlumbaan' Kawasaki iaitu Lime Green/Ebony, antara perbezaan ketara membabitkan Modenas ZX-25R SE dan Modenas ZX-25RR adalah di bahagian corak grafik menerusi penambahan satu lagi 'R' di bahagian panel.

Dan perbezaan besar lain adalah Modenas Ninja ZX-25RR (2024) dilengkapi dengan suspensi belakang Horizontal Back-link serta BFRC Lite Gas dengan ciri pelarasan penuh (Compression, Rebound, Preload).

Sebagai info, Modenas ZX-25R SE dipadankan dengan suspensi jenis 'Horizontal Back-link, gas-charged shock' dengan pelarasan 'preload spring.'

Justeru seperti yang pernah dilaporkan sebelum ini, tiada perbezaan membabitkan reka bentuk mahupun spesfikasi trenkuasa membabitkan kedua-dua model ini.

Tetapi dengan peningkatan di bahagian suspensi belakang, Modenas mendakwa motosikal ini menawarkan tunggangan lebih menyakinkan dan meningkatkan pengalaman menunggang pemiliknya.

Mengulas ringkas trenkuasa, Modenas Ninja ZX-25RR (2024) kekal dipadankan dengan enjin bersesaran 240 cc, 4 Silinder Sebaris, 16 Injap, Suntikan Bahan Api, Penyejuk Cecair, DOHC yang digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual.

Kuasa yang dihamburkan adalah 45 Hp pada 15,500 rpm dan tork 21 Nm pada 13,000 rpm.

Sebagai jentera suku liter paling berprestasi di pasaran ketika ini, Modenas Ninja ZX-25RR (2024) juga datang dengan teknologi canggih yang kebiasaan tidak dimiliki pencabar lain dalam kelasnya seperti Power mode, Assist & Slipper clutch, Quick shifter dan Kawasaki Traction Control (KTRC).

Selain itu, ia turut datang dengan 3 mod tunggangan, panel meter skrin TFT lengkap dengan sambungan Bluetooth melalui aplikasi Rideologynya.

Kepada yang berminat, Modenas Ninja ZX-25RR (2024) menurut Emos akan mula berada di semua bilik pameran Kawasaki All-Star Dealer menjelang akhir Mac 2024.

Untuk maklumat lanjut mengenai motosikal Modenas ZX-25RR dan Kawasaki, sila layari http://www.kawasaki.com.my/home . Anda juga boleh menghubungi Talian Bebas Tol Modenas 1-800-880-008 atau WhatsApp di +6019-570 8135.