EMOS Umum Kawasaki Ninja 1100SX (2025) Di Malaysia, RM 71.4k!

Kehadiran Kawasaki Ninja 1100SX (2025) generasi kelima ini meningkatkan varian model berkenaan di pasaran tempatan mengikuti pelancaran Kawasaki Ninja 1100SX SE (2025) pada Jun lalu

TERKINI

12/10/20251 min read

EDARAN Modenas Sdn Bhd (EMOS) selaku pengedar rasmi dan eksklusif jenama Kawasaki di Malaysia, hari ini mengumumkan kehadiran model 'Sport touring' aras tinggi Kawasaki Ninja 1100SX (2025) bersama harga menarik, RM 71,400.

Seperti biasa, angka harga yang diumumkan adalah asas, tidak termasuk yuran pendaftaran, cukai jalan dan insuran.

Dan Pilihan warna yang tersedia hanya satu iaitu Emerald Blazed Green/Metallic Diablo Black.

Sebagai info, kehadiran Kawasaki Ninja 1100SX (2025) generasi kelima ini melengkapkan varian model berkenaan di pasaran tempatan mengikuti pelancaran Kawasaki Ninja 1100SX SE (2025) pada Jun lalu.

Seperti namanya, Kawasaki Ninja 1100SX SE (2025) datang dengan komponen lebih premium dan diumumkan pada harga RM 79,000 (asas) serta dilancarkan sempena pembukaan Kawasaki Serdang.

Mengulas trenkuasa, Kawasaki Ninja 1100SX (2025) dijana enjin 1,099 cc, 4 Silinder Sebaris, Penyejuk Cecair, Fi, DOHC dengan transmisi 6 kelajuan klac manual.

Angka kuasa berada pada angka 134 Hp @ 9,000 rpm dan tork 112 Nm @ 7,600 rpm.

Tiada perubahan dari sudut rekaan dan ia mengekalkan tradisi Kawasaki dengan sensasi tunggangan menggabungkan keseronokan 'Sportbike' dengan kemampuan untuk mengharungi perjalanan jarak jauh dibantu kedudukan ergonomik mesra penunggang.

Sebagai model aras tinggi, Kawasaki Ninja 1100SX (2025) datang dengan pelbagai ciri elektronik canggih termasuk KCMF, KTRC, ABS dan memiliki mod kuasa dan tunggangan.

Model yang menggunakan kerangka aluminium twin-tube ini dipadankan dengan suspensi fork USD 41 mm boleh laras (depan) dan penyerap hentak belakang gas-charged back-link.

Kuasa membrek dijana brek cakera berkembar 300 mm (depan) dan cakera tunggal 250 mm (belakang).

Selain itu, ia turut datang dengan visor penghadang angin boleh laras, lampu LED penuh, panel meter TFT berwarna dan tangki bahan api 19 liter.

Ketua Pegawai Pemasaran MODENAS, Hitoshi Inoue berkata Kawasaki Ninja 1100SX adalah kemuncak kejuruteraan jenama itu dan ia direka untuk penunggang yang mahukan prestasi mendebarkan serta keselesaan touring luar biasa.

"Dengan penambahbaikan generasi baharu dan ciri premium, kami berbangga membawakan pengalaman sport-touring flagship kepada penunggang Malaysia.”

Kawasaki Ninja 1100SX (2025) kini boleh didapati di semua pengedar rasmi Kawasaki All-Star seluruh negara.