EMOS Umum Warna Baharu Kawasaki Z900 ABS, Z900 SE (2024), Harga Mula RM 44.9k!

TERKINI

1/27/20242 min read

KAWASAKI Malaysia tidak menunggu lama untuk mengumumkan kemas kini terhadap motosikal 'Naked' Kawasaki Z900 ABS dan Z900 SE yang tampil dengan penawaran warna baharu bagi model 2024.

Sebagai info, Kawasaki Z900 ABS, Z900 SE rasmi tiba di pasaran Malaysia pada Jun tahun lalu menerusi Edaran Modenas Sdn Bhd (Emos).

Dan menariknya, motosikal berprestasi berkenaan adalah unit CKD (Pemasangan Tempatan) dan dipasang di kilang Modenas di Gurun, Kedah.

Untuk Kawasaki Z900 SE (2024), pilihan warna baharu yang ditawarkan adalah Metallic Spark Black/Metallic Matte Graphenesteel Gray.

Ia menggantikan pilihan warna sebelum ini iaitu Candy Lime Green. Dan sekalipun penampilannya nampak tidak berubah, namun pilihan warna baharu 2024 datang dengan kerangka berwarna hijau.

Lebih menarik, tiada perubahan harga diumumkan iaitu RM 55,900 (asas).

Sementera itu pilihan warna baharu untuk Kawasaki Z900 ABS (2024) adalah Candy Persimmon Red/Ebony.

Harga jualan yang disyorkan juga tidak berubah iaitu RM 44,900 (asas).

Menariknya, pilihan warna terdahulu iaitu Metallic Spark Black/Metallic Matte Dark Gray dan Ebony/Metallic Matte Graphenesteel Gray dikekalkan.

Sebagai info, Kawasaki Z900 dan Z900 SE adalah model terbaharu Kawasaki di pasaran global dan turut dipadankan dengan pelbagai peningkatan seperti ciri elektronik moden antaranya kawalan cengkaman, mod tunggangan dan panel meter TFT dengan konektiviti Bluetooth terbaharu.

Mengulas ringkats trenkuasa, Kawasaki Z900/SE (2024) dipadankan dengan enjin bersesaran 948 cc, 4 Silinder, 16 Injap, 4 Lejang, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api yang digandingkan bersama transisi 6 kelajuan klac manual.

Kuasa yang dihasilkan adalah 123.6 Hp pada 9,500 rpm dan tork 98 Nm pada 7,700 rpm.

Selain empat mod tunggangan (Sport, Road, Rain dan Rider), ia turut mempunyai tiga tahap kawalan cengkaman KTRC dan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS).

Sebagai versi istimewa, Kawasaki Z900 SE (2024) dipadankan dengan fork USD jenama Showa 41 mm boleh laras sepenuhnya (warna emas) dan penyerap hentak tunggal yang dinaiktarafkan dengan penggunaan unit S46 Ohlins.

Selain itu, sistem brek versi SE turut menggunakan kaliper jenama Brembo M4.32 yang dipadankan dengan cakera berkembar bersaiz 300 mm hos steel braided. Brek belakang menggunakan cakera 250 mm dengan kaliper Nissin satu piston.

Kepada yang berminat, kesemua pilihan warna terbaharu ini sudah pun boleh didapati di cawangan pengedar Kawasaki Malaysia seluruh negara.