ENEA Bastianini Boleh Cabar Kejuaraan - Jorge Lorenzo

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

3/27/20241 min read

JUARA dunia tiga kali MotoGP, Jorge Lorenzo mengakui potensi dimiliki pelumba Ducati Lenovo, Enea Bastianini yang disifatkan mampu mencabar kejuaraan dunia musim ini.

Penampilan Bastianini bersama Ducati pada musim lalu dihimpit dengan masalah kecederaan - ironinya seawal pusingan pertama di Portimao, litar yang menyaksikannya meraih podium minggu lalu.

“Enea amat tidak bernasib baik tahun lalu," kata Lorenzo memetik laporan Crash.net. "Selain itu, Enea juga tak begitu gembira dengan jentera musim lalu.

"Kini dia sudah pulih sepenuhnya, sempurna secara fizikal dan jentera juga bertambah baik. Dan sebab itu kita melihat Enea kembali kompetitif.

"Mungkin dia masih belum menunjukkan potensinya yang sebenar pada perlumbaan ini tetapi jelas dia antara terbaik. Dan selepas dia kembali meraih keyakinannya, kita akan melihat Bastianini yang akan bersaing merebut kemenangan dan jelas untuk kejuaraan dunia juga."

Lorenzo dalam pada itu menjelaskan rakan sepasukan Bastianini, Francesco Bagnaia sepatutnya boleh mengelak kemalangan dengan Marc Marquez jika juara dunia itu 'menerima' yang dia sudah pun dipintas.

“Marc pelumba yang agresif, tetapi dalam situasi ini pada pendapat saya ini bukan salahnya," kata Lorenzo kepada Sky.

"Kerana pelumba yang memotong pelumba di depan tidak mempunyai penglihatan 360 darjah tentang apa yang berlaku. Sebaliknya, pelumba yang berada di belakang, dalam kes ini Bagnaia, dapat melihat gerakan Marquez iaitu untuk kembali ke garisan (perlumbaan).

"Dia (Bagnaia) melihat ruang yang kecil, memulas terotel lebih sedikit berbanding normal, tetapi dalam keadaan yang minimal, dan kedua-duanya ada niat yang sama, iaitu memasuki selekoh itu, dan akhirnya mereka bersentuhan.

"Dalam kes ini, pada pendapat saya, Marc tidak bersalah dan Pecco sepatutnya mengelak pertembungan itu. Tetapi tindakan yang tepat untuk tidak mengenakan penalti kepada kedua-duanya."