ENEA Bastianini 'Mengaum' Di Silverstone

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

8/4/20242 min read

ENEA Bastianini sekali lagi berada pada mod 'The Beast' apabila garang memenangi perlumbaan MotoGP Grand Prix (GP) British 2024 yang juga kemenangan bergandanya di Silverstone.

Seperti Perlumbaan Sprint yang turut dimenanginya, semalam, Bastianini dari Ducati Lenovo yang memulakan aksi di petak ketiga begitupun menggunakan taktik agak berbeza untuk menang.

Tampak seperti enggan memimpin perlumbaan di awal saingan, pelumba kelahiran Itali itu mengambil sedikit masa untuk mengekori pesaing di depannya sebelum memulakang langkah ketika berbaki beberapa pusingan.

Dan ia tampak berhasil dengan antara yang menjadi 'mangsa' pelumba yang diberikan julukan 'The Beast' ini adalah rakan sepasukannya, Francesco Bagnaia dan Jorge Martin yang kedua-duanya pernah meletakkan diri sebagai pendahulu perlumbaan.

Dan sama seperti Perlumbaan Sprint, Martin dari pasukan Pramac Ducati sekali lagi terpaksa berpuas hati menamatkan perlumbaan selaku naib juara.

Tetapi tempat ketiga tidak lagi mampu diisi jentera Aprilia menerusi Aleix Espargaro, namun dihuni Bagnaia.

Begitupun, kedudukan kedua di Silverstone sudah cukup buat Martin merampas kembali kedudukan sebagai carta pendahulu MotoGP daripada Bagnaia.

Beraksi menggunakan liveri bertemakan retro sempena sambutan ke-75 MotoGP, dua pelumba pasukan Tranchouse, Raul Fernandez dan Miguel Oliveira paling awal meninggalkan litar susulan kemalangan sesama sendiri.

Turut menamatkan perlumbaan dengan status 'DNF' adalah Joan Mir (Repsol Honda) dan pelumba KTM, Brad Binder.

Persaingan di Silverstone juga terus menyaksikan penguasaan penuh Ducati dengan kedudukan 1 hingga 5 diisi pelumba pengeluar Itali itu dengan juara dunia enam kali, Marc Marquez mengisi tempat keempat.

Ia diikutu pelumba VR46 Ducatio, Fabio di Giannantonio yang berjaya memintas Espargaro di pusingan terakhir yang menyaksikan pelumba Aprilia itu terpaksa melepasi garisan penamat di kedudukan ke-6.

Sementara itu, Fabio Quartararo dari Monster Yamaha sekali lagi menjadi pelumba terbaik daripada pengeluar Jepun dengan Luca Marini terus menamatkan perlumbaan dalam kelompok pungutan mata apabila melepasi garisan penamat di tangga ke-15.

Pusingan ke-11 dijadual berlangsung di GP Austria di Red Bull Ring yang juga laman KTM pada 16 hingga 18 Ogos depan.

Keputusan Perlumbaan MotoGP GP British 2024

  1. Enea Bastianini (ITA) Ducati Lenovo (GP24), 39m 51.879s

  2. Jorge Martin (SPA) Pramac Ducati (GP24), +1.931s

  3. Francesco Bagnaia (ITA) Ducati Lenovo (GP24), +5.866s

  4. Marc Marquez (SPA) Gresini Ducati (GP23), +6.906s

  5. Fabio Di Giannantonio (ITA) VR46 Ducati (GP23), +7.736s

  6. Aleix Espargaro (SPA) Aprilia Racing (RS-GP24), +9.514s

  7. Alex Marquez (SPA) Gresini Ducati (GP23), +9.741s

  8. Marco Bezzecchi (ITA) VR46 Ducati (GP23), +14.016s

  9. Pedro Acosta (SPA) Red Bull GASGAS Tech3 (RC16)*, +16.386s

  10. Franco Morbidelli (ITA) Pramac Ducati (GP24), +23.609s

  11. Fabio Quartararo (FRA) Monster Yamaha (YZR-M1), +24.202s

  12. Jack Miller (AUS) Red Bull KTM (RC16), +25.767s

  13. Maverick Viñales (SPA) Aprilia Racing (RS-GP24), +26.751s

  14. Johann Zarco (FRA) LCR Honda (RC213V), +26.953s

  15. Luca Marini (ITA) Repsol Honda (RC213V), +31.507s

  16. Takaaki Nakagami (JPN) LCR Honda (RC213V), +37.278s

  17. Augusto Fernandez (SPA) Red Bull GASGAS Tech3 (RC16), +37.605s

  18. Remy Gardner (AUS) Monster Yamaha (YZR-M1), +59.137s

Joan Mir (SPA) Repsol Honda (RC213V), DNF

Brad Binder (RSA) Red Bull KTM (RC16), DNF

Raul Fernandez (SPA) Trackhouse Aprilia (RS-GP24), DNF

Miguel Oliveira (POR) Trackhouse Aprilia (RS-GP24), DNF