ENEA Bastianini menafikan pendapat dia akan memberi 'bantuan' kepada Pecco Bagnaia dalam usaha rakan sepasukannya di Ducati Lenovo untuk menjulang gelaran dunia MotoGP musim ini.
Selepas menjuarai Perlumbaan Sprint, pelumba kelahiran Itali itu menamatkan perlumbaan utama di kedudukan ke-14 yang sekaligus menyaksikannya terkeluar daripada pemburuan kejuaraan musim ini.
Dan ketika ditanya adakah dia akan membantu Bagnaia pada baki dua pusingan di Malaysia dan Valencia, Bastianini yang memenangi perlumbaan MotoGP di Sepang musim lalu mengakui ia tidak seperti itu.
"Tidak, ini bukan masanya," kata Bastianini. "Saya juga mahu menang di Malaysia."
Ketika ini, pelumba Pramac Ducati, Jorge Martin menghuni tangga teratas carta pelumba dan dibezakan 17 mata dengan Bagnaia.
"Kini secara matematik hanya dua pelumba, Jorge dan Pecco (pemburuan kejuaraan dunia)," kata Bastianini.
"Bagnaia menunjukkan yang dia amat berpotensi. Juga saya bercakap dengannya sebelum perlumbaan dan dia sebenarnya tidak begitu positif dengan perlumbaan. Ketika pemanas badan, kami berdua tidak begitu pantas tetapi pada akhirnya, ketika perlumbaan, kami kompetitif.
"Dia lebih bertuah kerana pada pusingan pertama dia berada di depan dan ia lebih mudah, tetapi pada penghujungnya dia bekerja amat keras dan menang. Kini perbezaannya hanya 17 mata."
Bakal menyertai pasukan Tech3 KTM musim depan, Bastianini mengakui tidak mempunyai jawapan tepat mengapa dua memperoleh permulaan yang buruk ketika di Buriram.
Tetapi dia menjelaskan tidak mengaktifkan peranti permulaan hadapan jentera Ducati Desmosedici GP24 miliknya atas nasihat pasukannya dan sekalipun cuba bangkit, kemalangan yang dihadapinya menyaksikannya terpaksa menamatkan aksi di tempat ke-14.