ENEA Bastianini Rangkul Kemenangan Kontroversi Di Misano

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

9/22/20242 min read

ENEA Bastianini mencetak namanya sebagai pemenang ke-100 untuk Ducati di perlumbaan Grand Prix (GP) selepas memenangi perlumbaan MotoGP yang dipalit kontroversi di GP Emilia Romagna, hari ini.

Tampak seperti terdesak untuk memintas Jorge Martin, pelumba Ducati Lenovo, Bastianini melakukan gerakan yang mencetus kontroversi pada pusingan terakhir di Misano bagi memastikannya dapat bergelar juara.

Tindakan itu mengakibatkan kedua-duanya pelumba bergesel namun tidak terjatuh dengan Martin daripada pasukan Pramac Ducati tersisih daripada pemburuan untuk menang.

Apa yang mengejutkan, steward FIM langsung tidak melakukan siasatan terhadap insiden berkenaan dengan Bastianini menaiki podium sebagai juara.

Sekalipun tidak menang, Martin berjaya menjarakkan kedudukannya sebagai pendahulu kejuaraan kepada 24 mata di depan pencabar terdekatnya, Francesco Bagnaia.

Ia susulan kesilapan yang dilakukan penyandang juara dunia MotoGP itu apabila terjatuh.

Bagi Bagnaia, kemalangan di Misano yang berlaku ketika perlumbaan berbaki tujuh pusingan adalah 'DNF' ketujuh buatnya musim ini.

Selain kemenangan ke-100, kejayaan Bastianini turut mengesahkan gelaran dunia buat Ducati dalam kategori pengeluar.

Dan melengkapkan kedudukan podium di Misano adalah pemenang GP San Marino 2024, Marc Marquez daripada pasukan Gresini Ducati.

Selain memanfaatkan kemalangan Bagnaia untuk menaiki podium, Marquez turut bertuah berada di posisi berkenaan selepas dua pelumba KTM, Brad Binder dan Pedro Acosta kemalangan di depannya.

Selain mendominasi keseluruhan podium, dua lagi kedudukan teratas iaitu empat dan lima turut dimenangi Ducati menerusi Marco Bezzecchi (VR46 Ducati) dan Franco Morbidelli (Pramac Ducati).

Pelumba terbaik bukan Ducati adalah pelumba Aprilia Racing, Maverick Vinales yang menamatkan aksi di kedudukan keenam.

Pelumba Monster Yamaha, Fabio Quartararo dalam pada itu terpaksa berpuas hati di kedudukan ke-7 selepas berdepan isu minyak.

Untuk Honda, pelumba terbaiknya di Misano adalah Joan Mir yang menamatkan perlumbaan di tempat ke-11 dan rakan sepasukannya di Repsol Honda, Luca Marini di kedudukan ke-12.

Kempen MotoGP akan bersambung pada minggu depan di GP Indonesia di Litar Mandalika.

Keputusan Perlumbaan MotoGP GP Emilia Romagna 2024

  1. Enea Bastianini (ITA) Ducati Lenovo (GP24), 41m 14.653s

  2. Jorge Martin (SPA) Pramac Ducati (GP24), +5.002s

  3. Marc Marquez (SPA) Gresini Ducati (GP23), +7.848s

  4. Marco Bezzecchi (ITA) VR46 Ducati (GP23), +9.200s

  5. Franco Morbidelli (ITA) Pramac Ducati (GP24), +13.601s

  6. Maverick Viñales (SPA) Aprilia Racing (RS-GP24), +15.484s

  7. Fabio Quartararo (FRA) Monster Yamaha (YZR-M1), +20.922s

  8. Aleix Espargaro (SPA) Aprilia Racing (RS-GP24), +22.795s

  9. Alex Marquez (SPA) Gresini Ducati (GP23), +27.704s

  10. Miguel Oliveira (POR) Trackhouse Aprilia (RS-GP24), +31.891s

  11. Joan Mir (SPA) Repsol Honda (RC213V), +33.062s

  12. Luca Marini (ITA) Repsol Honda (RC213V), +35.411s

  13. Raul Fernandez (SPA) Trackhouse Aprilia (RS-GP24), +36.335s

  14. Fabio Di Giannantonio (ITA) VR46 Ducati (GP23), +37.395s

  15. Johann Zarco (FRA) LCR Honda (RC213V), +38.909s

  16. Jack Miller (AUS) Red Bull KTM (RC16), +40.454s

  17. Takaaki Nakagami (JPN) LCR Honda (RC213V), +46.394s

  18. Augusto Fernandez (SPA) Red Bull GASGAS Tech3 (RC16), +47.755s

  19. Brad Binder (RSA) Red Bull KTM (RC16), +85.918s

Francesco Bagnaia (ITA) Ducati Lenovo (GP24), DNF

Pedro Acosta (SPA) Red Bull GASGAS Tech3 (RC16), DNF