ENEA Bastianini Sertai Tech3 GasGas?

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

6/4/20241 min read

DUCATI dijangka kehilangan seorang lagi pelumbanya selepas Enea Bastianini dilaporkan bersedia untuk menyertai pasukan satelit KTM, Tech3 GASGAS musim depan.

Bastianini yang menyinar di GP Itali, minggu lalu seperti dilupakan di Ducati Lenovo dengan dua nama - Marc Marquez dan Jorge Martin dicanang bakal mengambil tempatnya.

Begitupun, Martin terkeluar daripada persaingan itu selepas membuat pengumuman menyertai Aprilia yang memberi kelebihan buat juara dunia lapan kali, Marquez.

Mengetahui tempatnya di Ducati Lenovo akan diisi pelumba lain, Bastianini, menurut laporan Sky Italia dikatakan akan mengumumkan destinasinya bagi musim depan dalam tempoh beberapa hari.

Menurut laporan itu, Tech3 dikatakan berjaya untuk meyakinkan pelumba kelahiran Itali itu menyertai mereka.

Seperti diketahui, KTM tidak lagi memiliki tempat di pasukan 'kilang' yang sudah pun diisi Brad Binder dan Pedro Acosta.

Begitupun, pengeluar Austria itu dikatakan akan menggunakan empat jentera berstatus 'factory' musim depan yang menyaksikan perbezaan antara pasukan rasmi dan satelit hampir tiada.

Justeru sekalipun pelumba dengan gelaran 'The Beast' seperti 'turun pangkat', dia masih berlumba menggunakan jentera yang memiliki pakej dan sokongan sama seperti pasukan utama.

Bastianini mula memakai sut lumba ikonik berwarna merah pada musim lalu selepas mengisi tempat ketiga kempen MotoGP musim 2022 di belakang Francesco Bagnaia dan Fabio Quartararo.

Tetapi musim pertamanya bersama Ducati Lenovo dibelenggu dengan masalah kecederaan selepas berdepan kemalangan ngeri pada aksi pembukaan musim lalu namun berjaya bangkit di penghujung saingan termasuk menjuarai GP Malaysia 2023.

Dan kebangkitan yang ditampilkan Bastianini membuatkan Ducati Corse mengekalkan tempatnya bersama Bagnaia dengan naib juara musim lalu, Martin kekal di Pramac Ducati.