ENEA Bastinani Dirisik Sertai Kem KTM?

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

12/8/20231 min read

CARLO Pernat, Pengurus kepada pelumba MotoGP Ducati Lenovo, Enea Bastianini memberi bayangan pihaknya sudah berhubung dengan pengeluar Austria, KTM membabitkan masa depan anak buahnya.

Dipalit dengan masalah kecederaan, Bastianini berdepan situasi 'menakutkan' disingkirkan Ducati Lenovo pada musim ini.

Begitupun, pelumba kelahiran Itali itu berjaya bangkit dengan meraih kemenangan di Grand Prix Malaysia dengan kegagalan Jorge Martin menjulang gelaran juara dunia MotoGP 2023 turut 'membantunya'.

"KTM adalah satu kemungkinan untuk kami," kata Pernat kepada Speedweek.

Kenyataan itu kemudian mendapat balasan daripada Pengarah Sukan Permotoran KTM, Pit Beirer.

"KTM mempunyai 6,000 pekerja. Saya tidak tahu dengan siapa Pernat bercakap. Bukan dengan saya.

"Tetapi kenapa tidak?"

KTM memang diketahui berhasrat untuk mengukuhkan posisinya di MotoGP selepas memiliki empat jentera di grid ketika ini.

Rancangan mereka untuk mendapatkan pasukan satelit kedua dengan membeli hak pasukan RNF MotoGP tak menjadi kenyataan pada musim ini namun peluang itu kembali terbuka apabila kebanyakan kontrak pasukan satelit akan berakhir musim depan.

KTM mengotakan janjinya kepada Pedro Acosta dengan memberikan juara dunia Moto2 itu 'pelana' di MotoGP musim ini bersama pasukan Tech3 GasGas.