ENGGAN Fikir Gelaran 'Rookie of the Year', Hakim Danish Fokus Konsisten

Hakim Danish yang beraksi bersama pasukan AEON Credit MT Helmets-MSi itu menjelaskan persaingan sengit dalam kelas Moto3 di Kejuaraan Motosikal Dunia menuntut komitmen yang tinggi

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

7/14/20261 min read

PELUMBA Moto3 negara, Hakim Danish enggan meletakkan tekanan ke atas dirinya untuk memburu gelaran 'Rookie of the Year', sebaliknya memilih untuk memberi tumpuan penuh bagi mengekalkan prestasi konsisten sepanjang musim ini.

Pelumba pasukan AEON Credit MT Helmets-MSi itu berkata, persaingan dalam kelas Moto3 di Kejuaraan Motosikal Dunia menuntut komitmen yang tinggi berikutan jumlah perlumbaan yang banyak, sekali gus menjadikan konsistensi sebagai kunci utama meraih kejayaan.

Perkara itu dikongsikan pelumba kelahiran Terengganu itu ketika ditemui pemberita sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.

“Saya tidak letakkan harapan yang tinggi untuk gelaran itu (Rookie of the Year). Fokus utama saya sekarang adalah terhadap prestasi tunggangan dan mahu kekal konsisten dalam setiap perlumbaan.

"Dalam Moto3 ada banyak perlumbaan. Jika saya boleh kekal konsisten setiap minggu, secara tidak langsung saya juga berpeluang untuk mengejar gelaran itu," katanya.

Mengulas mengenai prestasinya pada separuh musim pertama di pentas Moto3, Hakim Danish menyifatkan pencapaian yang diraih setakat ini cukup bermakna, terutamanya selepas terpaksa mengharungi pelbagai kesukaran pada awal kempen.

Malah, dia mengakui pencapaian bergelar pemenang Grand Prix (GP) adalah sesuatu yang di luar jangkaan.

“Saya memang sangat gembira. Pada awal musim, saya langsung tidak menjangkakan mampu menjadi pemenang Grand Prix. Saya pernah terjatuh dan melalui beberapa detik sukar, tetapi saya tidak berputus asa. Setiap perlumbaan saya cuba memperbaiki diri dan memberikan yang terbaik.

"Alhamdulillah, kemenangan itu menjadi satu kenangan manis yang tidak akan saya lupakan sepanjang karier saya,” katanya.