YAMAHA ketika ini menjadi pengeluar tunggal yang masih menggunakan enjin 4 Silinder Sebaris di MotoGP namun situasi itu mungkin tidak lama apabila pembangunan enjin V4 daripada pengeluar Jepun itu dilaporkan sudah memasuki tahap 'Advance'.
Setakat ini, Yamaha tidak mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi yang menyatakan mereka sedang berusaha untuk mengubah konsep enjinnya di kejuaraan berkenaan namun Motorsport.com melaporkan sebaliknya.
Lapor Motorsport.com yang memetik sumber daripada syarikat itu, projek enjin V4 Yamaha itu didakwa bukan saja berada di 'landasan', tetapi bergerak dengan amat pantas.
Yamaha seperti diketahui menggaji beberapa jurutera terkemuka antaranya Luca Marmorini yang berpengalaman sebagai jurutera pasukan Formula Satu (F1) di Ferrari dan Toyota beberapa tahun lalu.
Selepas meninggalkan F1, Marmorini menyertai Aprilia di MotoGP dan menjadi antara individu penting untuk pengeluar Itali itu meningkatkan prestasi dan ketahanan enjin V4 pasukan itu di MotoGP.
Dan antara perubahan yang dikatakan disuarakan oleh Marmorini secara dalaman adalah menimbang untuk mengubah konfigurasi enjin daripada 4 Silinder Sebaris kepada V4.
Menurut laporan Motorsport.com lagi, Yamaha difahamkan mahu menguji enjin 1000 cc V4 di atas trek sebelum peraturan enjin berubahan kepada 850 cc pada musim 2027.
Sekalipun tidak secara 'terang-terangan', jawapan daripada kedua-dua pelumba Yamaha MotoGP, Fabio Quartararo dan Alex Rins ketika ditanya mengenai perkara membabitkan enjin turut membuktikan Yamaha sedang melakukan sesuatu.
"Yamaha perlu mengambil kira semua konsep enjin," kata Quartararo sebelum ini.
Pada tahun ini, susulan perubahan peraturan konsesi di MotoGP, Quartararo dan Rins sudah pun menguji beberapa spesfikasi enjin untuk Yamaha namun ia nampaknya masih belum membuahkan hasil seperti diharapkan.
Selain Marmorini, Yamaha turut mendapatkan Max Bartolini yang juga bekas 'orang kanan' bos Ducati Gigi Dall'Igna sebagai Pengarah Teknikal pasukan itu musim ini dan antara perkembangan menarik termasuklah kehadiran semula pasukan satelit serta kehadiran Andrea Dovizioso sebagai pelumba ujian.
Sebagai info, Yamaha sebelum ini pernah menggunakan enjin berkonfigurasi V4 ketika era 500 cc pada 1980-an.