ERA Elektrik Di MotoGP Berakhir? Siri MotoE 'Direhatkan' Selepas Musim 2025

Dorna dan FIM berkata, fokus industri kini tidak lagi tertumpu kepada elektrifikasi seperti MotoE sepenuhnya, sebaliknya beralih kepada pembangunan teknologi bahan api bukan fosil dan enjin pembakaran dalaman yang lebih cekap

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

9/11/20251 min read

MotoE
MotoE

MASA depan MotoE, perlumbaan yang menggunakan jentera elektrik dalam Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) berada dalam ketidaktentuan apabila penganjur, Dorna Sports dan Persekutuan Motosikal Antarabangsa (FIM) mengesahkan siri perlumbaan itu akan direhatkan selepas berakhir musim 2025.

Keputusan mengejutkan itu diumumkan dalam satu kenyataan bersama, dengan alasan utama iaitu sambutan peminat yang kurang memberangsangkan serta perubahan hala tuju industri motosikal global.

Dorna dan FIM berkata, fokus industri kini tidak lagi tertumpu kepada elektrifikasi sepenuhnya, sebaliknya beralih kepada pembangunan teknologi bahan api bukan fosil dan enjin pembakaran dalaman yang lebih cekap.

Siri MotoE mula diperkenalkan pada tahun 2019 sebagai kategori sokongan dengan matlamat untuk mempromosikan imej mesra alam atau ‘hijau’ dalam arena MotoGP.

Meskipun pernah menyajikan aksi perlumbaan yang menarik dan melahirkan juara-juara seperti Matteo Ferrari, Jordi Torres dan Hector Garzo, siri ini gagal membina pangkalan peminat yang kukuh dan mampan.

Pengambilalihan Ducati sebagai pembekal jentera tunggal sejak musim 2023, yang diharapkan dapat meningkatkan profil kejuaraan juga didapati tidak memberikan impak komersial yang mencukupi untuk meneruskannya.

Langkah ini selari dengan strategi kelestarian MotoGP sendiri, yang sedang dalam proses peralihan sepenuhnya kepada penggunaan bahan api 100 peratus bukan fosil menjelang musim 2027.

Perkembangan itu turut menandakan satu perubahan besar dalam pendekatan sukan permotoran itu terhadap isu alam sekitar, di mana penekanan diberikan kepada kelestarian enjin pembakaran berbanding elektrifikasi.

Seperti diketahui, Dorna akan memperkenalkan satu kategori perlumbaan baharu yang unik iaitu Kejohanan Bagger (Bagger Championship) pada musim depan.

Kejohanan yang menampilkan jentera kruiser berprestasi tinggi itu dijadualkan bermula pada 2026 dan akan berlangsung sebanyak enam pusingan sebagai perlumbaan sokongan di beberapa Grand Prix terpilih.

Pengenalan kategori Bagger ini dilihat oleh pemerhati sebagai satu isyarat yang tarikan utama sukan permotoran masih terletak pada deruman enjin, reka bentuk jentera yang gah dan gaya hidup yang berkaitan dengannya.

Penangguhan MotoE ini menandakan berakhirnya satu eksperimen penting dalam dunia MotoGP, di mana teknologi elektrik diuji di pentas tertinggi namun gagal menawan hati majoriti peminat.