ERA Yamaha R1 Di WorldSBK Dah Berakhir, Nafas Baharu 'V4' Dalam Perjalanan?
Jika di MotoGP Fabio Quartararo bersama tiga lagi pelumba pengeluar Jepun itu terpaksa bekerja keras mengejar pesaing, senario serupa turut dialami Andrea Locatelli serta barisan penunggang Yamaha yang lain di WorldSBK
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
3/6/20261 min read


SELAIN di MotoGP, Yamaha seperti diketahui turut berdepan kesukaran di pentas Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) dalam kelas perdana WorldSBK.
Jika di MotoGP Fabio Quartararo bersama tiga lagi pelumba pengeluar Jepun itu terpaksa bekerja keras mengejar pesaing, senario serupa turut dialami Andrea Locatelli serta barisan penunggang Yamaha yang lain di WorldSBK.
Pusingan pertama di Phillip Island baru-baru ini pastinya mahu dilupakan segera oleh pelumba yang menunggang jentera Yamaha YZF-R1 dan ia pantas mencetus persoalan adakah 'nafas' baharu diperlukan.
Mengulas situasi itu, Pengurus Sukan Perlumbaan Yamaha Motor Eropah, Niccolo Canepa yang kini mengemudi operasi Yamaha di litar tampil menegaskan pendirian pasukan untuk terus bekerja keras dengan jentera sedia ada.
"Saya bertanggungjawab dalam bahagian perlumbaan, jadi tugas kami adalah untuk memerah potensi maksimum daripada jentera yang kami gunakan untuk berlumba.
"Saya tiada sebarang maklumat mengenai pelan masa depan Yamaha dari sudut pandang komersial (projek V4), jadi saya tidak boleh mengulas lanjut.
"Fokus utama kami sekarang adalah untuk terus menambah baik pakej R1 yang ada dan menjadikannya sekompetitif mungkin," katanya memetik laporan GPOne.
Selepas memperoleh tempat ke-13 pada Perlumbaan 1 dan ke-14 pada Perlumbaan Superpole, Locatelli yang muncul pelumba terbaik Yamaha di Australia bangkit menamatkan Perlumbaan 2 di kedudukan ke-5.
Dia kini menghuni tangga ke-13 kedudukan pelumba dengan mengumpul 14 mata sebagai pelumba terbaik jenama itu.

