ESTREMO Superbike Endurance 2025 By BRAAAP (ESEB), Perlumbaan Malam Ekstrem Sempena Hari Malaysia!

ESEB 2025 yang dianjurkan sempena sambutan Hari Malaysia itu membawa kelainan dengan penganjur Braaap Motorsports menggunakan format perlumbaan enduran atau ketahanan itu di bawah limpahan lampu limpah, mirip acara ikonik dunia seperti Suzuka 8 Hours di Jepun

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

9/13/20252 min read

EDISI sulung perlumbaan enduran, Estremo Superbike Endurance 2025 By BRAAAP (ESEB) bakal menerjah litar ikonik negara, Litar Antarabangsa Sepang (SIC) PETRONAS (Trek Selatan) pada 15 dan 16 September ini dan menariknya berlangsung pada waktu malam.

Perlumbaan yang dianjurkan sempena sambutan Hari Malaysia itu membawa kelainan dengan penganjur Braaap Motorsports menggunakan format perlumbaan enduran atau ketahanan itu di bawah limpahan lampu limpah, mirip acara ikonik dunia seperti Suzuka 8 Hours di Jepun.

Selain format permulaan dramatik ala Kejuaraan Enduran Dunia (EWC) di mana pelumba akan berlari ke jentera masing-masing untuk memulakan saingan, perlumbaan bakal menguji ketahanan fizikal dan mental pelumba serta jentera masing-masing.

Pengerusi Kelab Sukan Bermotor BRAAAP, Azuan Izadee selaku penganjur, berkata idea untuk menganjurkan perlumbaan superbike ini tercetus selepas kejayaan menganjurkan siri perlumbaan enduran kapcai, Braaap-2-Hours Endurance, sejak tahun 2021.

"Kami bermula daripada enduran kapcai. Keinginan untuk sentiasa mencuba sesuatu yang baharu membawa kepada penganjuran perlumbaan enduran kapcai yang kini memasuki tahun kelima," kata Azuan yang juga seorang pelumba.

"Kini, kami mahu mencabar diri kami lebih jauh dengan menganjurkan perlumbaan enduran superbike pula, yang kali pertama dianjurkan pada tahun ini dan yang pertama seumpamanya pada waktu malam di Malaysia."

Dengan menjadikan perlumbaan di Le Mans dan Suzuka 8 Hours sebagai rujukan, Izuan menjelaskan bahawa edisi pertama ESEB 2025 akan berlangsung selama satu dan dua jam, berbeza dengan perlumbaan antarabangsa yang lazimnya memakan masa minimum empat jam.

"Pada penganjuran sulung ini, fokus utama kami adalah untuk mengumpul data dari segi penganjuran, merangka peraturan yang sesuai, serta mendapatkan maklum balas daripada penggiat sukan permotoran," kata Azuan.

Dan salah satu cabaran terbesar menurutnya adalah ketiadaan data rujukan mengenai prestasi dan pemilihan tayar di Litar Sepang pada waktu malam.

"Sebagai perlumbaan pertama, kami tiada rujukan. Namun, bantuan dan khidmat nasihat daripada rakan tayar rasmi kami, Pirelli, amat membantu dalam mengatasi cabaran ini," katanya.

Menyentuh aspek keselamatan, Izuan menegaskan bahawa ESEB mendapat kelulusan dan dikawal selia sepenuhnya oleh badan induk sukan permotoran negara, Persatuan Sukan Permotoran Malaysia (MAM).

"Kita memang mendapat sanksi daripada MAM dan mereka membuat kawal selia, termasuk penyediaan peraturan sukan sehinggalah memastikan undang-undang yang adil untuk penganjur dan pelumba.

"Keperluan keselamatan seperti marsyal, ambulans, pasukan perubatan dan pasukan penyelamat dipastikan berada pada tahap tertinggi untuk memberi maklum balas segera jika berlaku sebarang insiden," katanya.

Meskipun ini adalah edisi sulung dengan slot penyertaan yang terhad, ESEB 2025 berjaya menarik minat dari luar negara, termasuk dari Singapura, Indonesia, Thailand, China, Taiwan dan Hong Kong.

Perlumbaan tahun ini akan menyaksikan penyertaan sebanyak 18 pasukan, membabitkan 36 pelumba dan disokong oleh lebih 100 kru perlumbaan.

Antara nama besar yang bakal beraksi termasuklah pelumba legenda negara, Fazli Sham, pelumba Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC), Joey Teo, serta pempengaruh superbike terkenal, Ahmad Khan.

Selain Estremo selaku penaja utama, perlumbaan ESTREMO Superbike Endurance 2025 anjuran Braaap Motorsports turut menerima sokongan padu daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Tourism Malaysia.

Penganjuran perlumbaan ESEB bukan sahaja bakal menyuntik nafas baharu dalam kalendar sukan permotoran tempatan, malah membuka lembaran baharu bagi penganjuran acara perlumbaan bertaraf antarabangsa di Malaysia.