ETG Umum Harga Zontes 175X, 175V Bawah RM 10k, Pelancaran Q1 2027!
Perkembangan menarik membabitkan skuter Zontes 175X, 175V ini diperoleh menerusi tayangan slaid bayangan model berkenaan pada majlis malam penghargaan media ETG yang juga pengedar eksklusif jenama Zontes di Malaysia
TERKINI
10/2/20261 min read


PENGEDAR rasmi jenama Zontes di Malaysia, Eurotech Group (ETG) menghangatkan segmen skuter tempatan apabila mengesahkan kehadiran 2 model baharu, Zontes 175X dan Zontes 175V menjelang suku pertama (Q1) 2027.
Lebih mengujakan, tanda harga menarik turut didedahkan untuk skuter berkenaan iaitu di bawah RM 10,000.
Perkembangan terbaharu itu diperoleh menerusi tayangan slaid bayangan model berkenaan pada majlis malam penghargaan media, baru-baru ini dengan ETG memberi bayangan jelas hanya versi bersesaran 175 cc akan dibawa masuk ke pasaran negara ini.
Tampil dengan rekaan moden, apa yang menarik mengenai skuter dalam siri '175' ini adalah dari sudut kejuruteraan apabila ia dipadankan dengan kerangka jenis aluminium yang jarang ditawarkan dalam segmennya.
Penggunaan material berkenaan menyumbang kepada berat keseluruhan Zontes 175X dan Zontes 175V yang lebih ringan sekali gus memperoleh pengendalian yang lincah.
Dari segi prestasi, Zontes 175X dan Zontes 175V dijangka memberi saingan sengit dalam kelasnya apabila enjin yang dipadankan kepada model itu difahamkan mampu menjana kuasa sehingga 19 Hp.
Dan melengkapkan profilnya sebagai skuter urban yang praktikal dan selamat, siri Zontes 175 ini turut dibekalkan ciri standard Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dan Kawalan Cengkaman (TCS).
Ciri-ciri menarik lain termasuklah ia dilengkapi tangki bahan api 11 liter serta kemudahan ruang simpanan bawah tempat duduk yang mampu memuatkan dua topi keledar.



