EUROTECH Wheel Kini Dikenali ETG

Peralihan identiti baharu itu mencerminkan skala perniagaan, kemampuan serta cita-cita ETG yang juga pengedar eksklusif jenama KTM, Husqvarna, GASGAS dan ZONTES secara lebih meluas selari dengan fasa pertumbuhan seterusnya dalam landskap industri motosikal tempatan

TERKINI

10/1/20261 min read

SYARIKAT pengedar motosikal jenama antarabangsa terkemuka tempatan, Eurotech Wheel mengumumkan penjenamaan semula entiti perniagaannya yang kini tampil dengan identiti dan logo baharu dikenali sebagai ETG, singkatan kepada Eurotech Group.

Peralihan identiti baharu itu mencerminkan skala perniagaan, kemampuan serta cita-cita syarikat yang lebih meluas selari dengan fasa pertumbuhan seterusnya dalam landskap industri motosikal tempatan.

ETG yang sinonim sebagai pengimport jenama KTM, Husqvarna, GASGAS dan ZONTES, kini tidak lagi sekadar menumpukan kepada pengedaran, malah operasinya merangkumi pemasangan motosikal, sokongan selepas jualan serta pembangunan komuniti penunggang.

Ketua Pemasaran dan Pengalaman Pelanggan ETG, Goi Seong Keng, berkata evolusi nama itu menterjemahkan sejauh mana perniagaan berkenaan telah berkembang dan arah tuju masa depannya.

"ETG tidak pernah berhenti melangkah. Selama bertahun-tahun, kami terus memperluaskan kemampuan, mengukuhkan portfolio jenama dan membina hubungan yang lebih mendalam dengan pengedar serta pelanggan.

"Logo dan identiti ETG ini mencerminkan pencapaian kami dan memberikan keterserlahan yang lebih baik mengenai ke mana hala tuju perniagaan ini mahu dibawa pada masa akan datang," kata Seong Keng ketika majlis penjenamaan semula itu yang dianjurkan serentak dengan Malam Penghargaan Media.

Sebagai rekod, reputasi ETG dalam industri dibina di atas asas yang kukuh bermula dengan penubuhan kilang pemasangan tempatan (CKD) KTM pertama di Asia Tenggara pada 2012, sebelum terus mengembangkan sayap membawa masuk ZONTES (2019), Husqvarna (2021) dan GASGAS (2022).

Peralihan kepada identiti ETG ini bukan sahaja melambangkan kejayaan dan kredibiliti masa lalu, malah ia menjadi platform terbaharu untuk syarikat terus memberi komitmen utuh kepada rakan kongsi jenama global, pengedar dan komuniti pemotoran di Malaysia.