FABIO Di Giannantonio Menang GP Qatar 2023, Jorge Martin Dipalit Duka
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
11/20/20232 min read
SATU lagi kejutan berlaku di MotoGP 2023 apabila pelumba dengan status 'Tiada pasukan' musim depan, Fabio Di Giannantonio merangkul kemenangan di Grand Prix (GP) Qatar.
Kemenangan buat Di Giannantonio di Losail adalah yang pertama dalam karier buat pelumba yang disisihkan Gresini Ducati bagi memberi laluan kepada Marc Marquez itu musim depan.
Turut mengejutkan adalah masalah teknikal yang dihadapi pencabar kejuaraan, Jorge Martin dari Pramac Ducati yang menyaksikan jurang mata yang dimilikinya bersama pendahulu, Francesco Bagnaia kembali besar.
Berdepan masalah tayar pada permulaan perlumbaan, masalah Martin meningkat ketika perlumbaan berlangsung dan terpaksa berpuas hati menamatkan aksi di kedudukan ke-10.
Ia pastinya bukan keputusan yang diharapkan ketika Bagnaia menamatkan perlumbaan selaku nailb juara.
Keputusan turut menyaksikan jurang mata di antara Bagnaia dan Martin meningkatkan kepada 21 mata menuju perlumbaan penutup musim di Valencia, Sepanyol hujung minggu ini.
Sementara itu, Ducati meneruskan kecemerlangan mereka selepas Luca Marini dari Mooney VR46 Ducati - pelumba yang memulakan aksi di petak utama melengkapkan perlumbaan di kedudukan ketiga.
Bagi Bagnaia, penyandang juara dunia MotoGP itu patut menyalahkan diri kerana terlepas peluang bergelar pemenang selepas melakukan kesilapan ketika ingin memintas Di Giannontonio.
Pelumba bukan Ducati terbaik menjadi milik pelumba Aprilia Racing, Maverick Vinales yang menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-4 dengan Brad Binder dari KTM di tangga kelima.
Dan pelumba dari pengeluar Jepun terbaik menjadi milik pelumba Monster Yamaha, Fabio Quartararo yang melepasi garisan penamat di kedudukan ke-7 manakala pelumba terbaik Honda kekal bintangnya, Marc Marquez yang menamatkan aksi di tangga ke-11.
Keputusan MotoGP GP Qatar 2023
1. Fabio Di Giannantonio (ITA) Gresini Ducati (GP22) 41m 43.654s
2. Francesco Bagnaia (ITA) Ducati Lenovo (GP23) +2.734s
3. Luca Marini (ITA) Mooney VR46 Ducati (GP22) +4.408s
4. Maverick Viñales (SPA) Aprilia Racing (RS-GP23) +4.488s
5. Brad Binder (RSA) Red Bull KTM (RC16) +7.246s
6. Alex Marquez (SPA) Gresini Ducati (GP22) +7.620s
7. Fabio Quartararo (FRA) Monster Yamaha (YZR-M1) +7.828s
8. Enea Bastianini (ITA) Ducati Lenovo (GP23) +8.239s
9. Jack Miller (AUS) Red Bull KTM (RC16) +11.509s
10. Jorge Martin (SPA) Pramac Ducati (GP23) +14.819s
11. Marc Marquez (SPA) Repsol Honda (RC213V) +14.964s
12. Johann Zarco (FRA) Pramac Ducati (GP23) +17.431s
13. Marco Bezzecchi (ITA) Mooney VR46 Ducati (GP22) +17.807s
14. Joan Mir (SPA) Repsol Honda (RC213V) +18.673s
15. Augusto Fernandez (SPA) Tech3 GASGAS (RC16)* +21.455s
16. Franco Morbidelli (ITA) Monster Yamaha (YZR-M1) +21.474s
17. Raul Fernandez (SPA) RNF Aprilia (RS-GP22) +22.142s
18. Pol Espargaro (SPA) Tech3 GASGAS (RC16) +27.194s
19. Takaaki Nakagami (JPN) LCR Honda (RC213V) +27.740s
Aleix Espargaro (SPA) Aprilia Racing (RS-GP23) DNF
Iker Lecuona (SPA) LCR Honda (RC213V) DNF