FABIO Quartararo Beri Bayangan Akan Kekal Di Yamaha?

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

3/28/20241 min read

RAMAI yang menjangkakan Yamaha akan kehilangan khidmat bintang MotoGP pasukan itu, Fabio Quartararo musim depan namun berdasarkan perkembangan terbaharu, situasi itu mungkin tidak akan terjadi.

Kuat dikaitkan dengan pengeluar Itali Aprilia, antara punca yang menyebabkan pelumba kelahiran Perancis itu angkat kaki adalah berikutan kegagalan Yamaha menyediakan jentera yang mampu bersaing untuk kejuaraan.

Tetapi berdasarkan situasi semasa, termasuk usaha keras yang ditunjukkan oleh pengeluar Jepun itu berkemungkinan besar mampu menghalang Quartararo meninggalkan pasukan itu.

"Saya tidak tahu," kata Quartararo memetik laporan Motorsport ketika ditanya mengenai masa depannya. "Sejujur-jujurnya, saya mempunyai pengalaman lebih teruk ketika di Moto2 di mana saya tidak tahu di mana saya akan pergi pada tahun berikutnya.

"Kemungkinan untuk pergi, mendapatkan tawaran, tekanan yang faktanya tidak mempunyai jentera untuk tahun seterusnya, saya tidak fikir ia mengganggu saya.

"Saya boleh berkata yang ia langsung tidak mengganggu saya. Jelas akan ada pilihan perlu dibuat dan ia bukannya mudah.

"Saya tidak tahu yang saya perlu memutuskannya dalam tempoh yang amat singkat, tetapi pada satu perkara kamu melihat Yamaha melakukan perkara yang saya tidak pernah lihat dalam tempoh enam tahun, mereka benar-benar melakukan perubahan yang besar.

"Satu perkara lain, ada kemungkinan untuk menunggang jentera yang sudah pun berada di depan. Ia tidak akan menjadi pilihan yang mudah.

"Suasana ketika ini amat bagus dan saya boleh katakan yang ia memotivasikan Yamaha dengan cukup besar."

Seperti diketahui, kontrak Quartararo bersama Yamaha dijadual berakhir pada penghujung musim ini dan pengeluar itu ketika ini sedang memanfaatkan peraturan konsesi yang direka untuk mempercepatkan kebangkitannya.