FABIO Quartararo Dah Jangka Yamaha Akan Bergelut Di COTA, Alex Rins Akui Buat Silap!

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

4/17/20241 min read

YAMAHA menamatkan aksi Pusingan 3 MotoGP Grand Prix (GP) Amerika Syarikat 2024 dengan nota mengecewakan yang menyaksikan Fabio Quartararo melepasi garisan penamat di kedudukan ke-12 dan Alex Rins pulang tangan kosong.

Mengulas prestasi hambarnya di Austin, Quartararo yang juga juara dunia MotoGP pada 2021 menjelaskan dia berlumba dengan 'jentera yang tidak pernah ditunggangnya' sebelum ini.

"Saya kehilangan beberapa posisi, tetapi sejujur-jujurnya, saya menjangkakan sesuatu yang lebih buruk. Kelajuan yang saya ada tidak bagus, dan penurunan (cengkaman) tayar juga tidak begitu buruk.

"Mungkin kami boleh menamatkan perlumbaan dengan kedudukan lebih baik, tetapi keutamaan kami pada minggu ini adalah untuk mencuba banyak perkara, dan kami memfokuskan untuk menambah baik jentera.

"Saya memulakan perlumbaan dengan jentera yang tidak pernah saya cuba sebelum ini. Minggu ini adalah hebat kerana asasnya kami mencuba banyak perkara.

"Saya fikir ia bagus untuk pengalaman kami. Kami tahu apa yang kami perlukan dan mempunyai arah yang jelas untuk bergerak ke depan adalah sesuatu yang positif," kata pelumba kelahiran Perancis itu.

Rins yang juga pemenang di COTA musim lalu bersama Honda dalam pada itu mengakui dia melakukan perubahan radikal terhadap pelarasan jenteranya - termasuk menggunakan pelarasan ketika sesi pemanas badan pada perlumbaan.

Dan hasilnya, pelumba kelahiran Sepanyol itu berjaya menduduki posisi ke-7 pada satu ketika sekalipun bermula di petak ke-15 sebelum berdepan insiden.

"Permulaan agak bagus. Kami memintas lapan pelumba seawal pusingan pertama," kata Rins. "Ketika sesi pemanas badan kami mencuba pelarasan yang berbeza untuk melihat sama ia adalah apa yang kami perlu lakukan.

"Ketika pemanas badan kami hanya mempunyai 10 minit, dan saya tidak dapat merasa perbezaan yang besar berbanding sebelum ini. Mungkin perasaannya sedikit baik ketika melepaskan brek di selekoh perlahan, sesuatu yang kami bergelut sebelum ini.

"Jadi kami memutuskan untuk mengekalkan pelarasan itu untuk perlumbaan, dan sejujur-jujurnya ia kesilapan yang besar. Jentera kami kebiasaannya agak berat untuk mengubah arah. Ketika perlumbaan, dengan pelarasan ini, ia menjadi lebih teruk, jadi saya kehilangan masa.

"Kemudian saya melakukan kesilapan kecil pada selekoh 15. Ada permukaan tidak begitu rata di litar dan mungkin saya melaluinya dan meletakkan sedikit tekanan kepada brek depan dan kehilangan kawalan."