FABIO Quartararo Dah Kembali Seronok Tunggang Yamaha M1!
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
12/9/20241 min read


PELUMBA Monster Yamaha, Fabio Quartararo mengakui dia kembali menikmati perasaan menunggang jenteranya Yamaha M1 ketika ini.
Selepas menjuarai gelaran dunia pada 2021, Yamaha mengalami penurunan prestasi dan selepas bergelar naib juara pada musim 2022, prestasi yang ditampilkan pada musim 2023 dan 2024 jatuh merudum.
Quartararo berjaya menaiki podium sebanyak tiga kali pada 2023 dan menamatkan kempen di kedudukan ke-10.
Situasi menjadi lebih buruk pada musim ini apabila pelumba kelahiran Perancis itu menamatkan kempen di kedudukan ke-13 kategori pelumba dan langsung tidak merasai nikmat di keduudkan tiga terbaik.
Begitupun, kedudukan berkenaan tidak menggambarkan perasaannya terhadap penambah baikkan yang dibuat kepada Yamaha M1.
"Saya langsung tidak pernah menganggapnya sebagai mudah," kata Quartararo. "Saya menikmati jentera ini. Saya mula untuk kembali benar-benar menikmati menunggang jentera ini kerana kini saya boleh mengerahnya sehingga had.
"Tetapi kami mempunyai sasaran yang jelas untuk kembali (ke puncak) dan apa saja yang kami boleh lakukan untuk kembali secepat yang mungkin, kami akan lakukannya."
Quartararo turut menyatakan yang jenteranya lebih laju ketika ujian di Barcelona bulan lalu tetapi enggan terlalu optimis.
"Saya merasa sedikit lebih pantas. Lebih hampir, saya tidak tahu. Kerana ia adalah sesi ujian, sukar untuk menganalisanya dengan baik," katanya.
"Tetapi dari sudut posisi, kami lebih baik sedikit sekalipun ia hanya ujian. Kita akan lihat bagaimana situasinya pada hari terakhir di Thailand (tahun depan) di mana posisi kami yang realistik."
