FABIO Quartararo Dapat Gaji RM 61.7 Juta Setahun Kekal Di Yamaha

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

4/6/20241 min read

YAMAHA dilaporkan mengeluarkan belanja tinggi sekitar € 12 juta (RM 61.7 juta) untuk mengekalkan bintangnya, Fabio Quartararo bersama pasukan itu sehingga penghujung tahun 2026.

Menurut laporan Motorsport, pelumba kelahiran Perancis itu kini bergelar pelumba MotoGP menerima gaji paling tinggi dan jumlah yang diperolehnya jauh mengatasi apa yang diterima juara dunia, Francesco Bagnaia.

Dan angka € 12 juta (RM 61.7 juta) itu adalah asas dengan pelumba MotoGP turut dibayar bonus berdasarkan prestasi termasuk ketika memenangi perlumbaan atau gelaran, berdasarkan kontrak masing-masing.

Ducati dikatakan membayar Bagnaia separuh daripada jumlah berkenaan dan apa yang diperoleh pelumba Itali itu mungkin kurang sekalipun disertakan bersama bonus.

Begitupun, angka yang diperoleh Quartararo turut jauh berbanding apa yang dibayar Honda kepada Marc Marquez iaitu € 20 juta (RM 102.8 juta) setahun pada musim terakhirnya bersama pasukan itu.

Bagi Yamaha, mengekalkan Quartararo jelas sesuatu yang amat diinginkan pasukan itu yang tidak mahu terbabit dalam isu pembelian pelumba sejurus musim ini berakhir.

Quartararo, sekalipun tidak memenangi sebarang perlumbaan musim lalu adalah juara dunia 2021 dan naib juara dunia musim 2022 dengan penurunan prestasinya dikatakan berpunca daripada kemampuan Yamaha untuk mencabar dominasi Ducati.

Justeru, tiada sebarang petanda dengan pembaharuan kontrak itu dapat membuatkan Yamaha kembali sebagai pencabar kejuaraan malah mungkin perlu menunggu sehingga peraturan baharu bermula pada 2027.

Selain mengekalkan Quartararo, Yamaha sudah pun menggaji dua bekas jurutera Ducati, Massimo Bartolini dan Marco Nicotra bagi membantu kebangkitan pasukan itu.

Dan Quartararo nampaknya cukup gemar dengan apa yang dilakukan pengeluar Jepun itu.